Ini bukannya sebuah Integra empat pintu biasa-biasa, tapi ia adalah sebuah Honda Integra Type R 1997 dengan kod DB8 yang dihasilkan oleh Honda eksklusif untuk pasaran Jepun.
Difahamkan, hanya 5,135 unit sahaja yang dihasilkan dan salah sebuah daripadanya kini sedia untuk dibida menerusi laman web Bring A Trailer.
Disebabkan ia diimport sepenuhnya dari Jepun, ia menawarkan konfigurasi pemanduan di sebelah kanan, lengkap dengan enjin B18C 1.8 liter (197 hp @ 8,000 rpm, 178 Nm @ 7,200 rpm) dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan dan LSD secara standard.
Tanpa sebarang kit badan yang berlebihan, Integra Type R DB8 ini didatangkan dengan rim aloi bersaiz 15 inci, spoiler depan, sayap belakang, pendakap strut tower, sistem pendingin hawa, pintu tanpa rangka serta tingkap berkuasa.
Membuktikan ia sebuah model Type R adalah kehadiran lencana Type R di bahagian sisi dan belakang, logo H berwarna merah serta plet pada ruang enjin yang memaparkan kod DB8 dan Type R.
Dengan jarak perbatuan sekitar 127,000 km, harga yang dipaparkan (sewaktu artikel ini ditulis) bermula dari $5,101 (RM22,817) dengan tempoh bidaan berbaki lagi tiga hari.
Sumber: Bring A Trailer