Terdapat dua jenis isu berasingan melibatkan komponen pam bahan api yang dikesan:
Pertama, pam bahan api jenis impeller berisiko mengembang selepas terendam dalam bahan api untuk tempoh yang lama, menyebabkan enjin tidak dapat dihidupkan atau terhenti ketika memandu. Sebanyak 84,073 unit terjejas, melibatkan model berikut:
-
Jazz (2015–2020)

-
Jazz Hybrid (2018)

-
City (2014–2019)

-
City Hybrid (2018–2019)

-
Civic (2017–2018)

-
Accord (2013–2017)

-
BR-V (2017–2018)

-
HR-V (2015–2018)

-
CR-V (2018–2020)

-
Odyssey (2017–2019)
Kedua, pam bahan api tekanan tinggi berisiko retak akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan berlebihan, yang boleh menyebabkan kebocoran bahan api atau bau bahan api semasa memandu atau melahu. Sebanyak 3,417 unit terjejas melibatkan model Civic (2023–2024) dan CR-V (2024).
Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pelanggan dan menegaskan bahawa semua kos berkaitan penggantian akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat. Penggantian ini akan dibuat secara percuma di semua pusat servis sah Honda, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti yang akan dihantar secara berperingkat.
Pelanggan yang terlibat akan menerima notis panggilan semula secara rasmi melalui surat, dan boleh menyemak status kenderaan mereka menerusi aplikasi HondaTouch, laman web www.honda.com.my, atau dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.
Setakat ini, tiada sebarang laporan insiden kemalangan atau kecederaan yang berpunca daripada isu pam bahan api ini di Malaysia. Panggilan semula ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Honda Malaysia dalam memastikan keselamatan dan ketenangan minda semua pemilik kenderaan Honda di negara ini.