
Skema warna badan kelabu dan emas menaikkan imej retro dan sepit udang terbalik (USD) 31 mm juga dalam warna emas menyerlahkan gaya premium.
Angkup brek tanpa sebarang logo pula mengundang untuk ditukar kepada jenama lain seperti Brembo misalnya.
Satu lagi warna baharu ialah Splendid Blue yang seakan hijau Petronas dan mengingatkan kepada Hafizh Syahrin di Kejohanan Superbike Dunia.
MSX125 Grom warna Gayate Red SE pula dipadan dengan madgad hitam berbanding warna seragam sebelum ini.

Satu perbezaan di antara MSX125 Grom kelabu dengan hijau dan merah ialah angkup brek. Model kelabu dipasang angkup warna emas manakala dua lagi model berwarna hitam.
Selain itu, ketiga-tiga model dilengkapi penyerap hentak belakang tunggal dengan gegelung warna hitam berbanding warna kuning pada model 2022.
MSX125 Grom menggunakan rangka keluli mono-backbone dan rekaannya membolehkan komponen berkaitan sistem pancitan PGM-FI disorokkan di sebalik tangki.
Perkakasan elektrikal juga berjaya disorok dan tangki motosikal comel ini mempunyai kapasiti enam liter.

Dari segi dimensi, ketinggian pelana hanya 761 mm dengan jarak roda 1,200 mm dan berat keseluruhan 103 kilogram.
Rim aluminium 12 inci dan lebar 2.5 inci dipadan dengan tayar 120/70 di depan dan 130/70 di belakang.
Brek hidraulik dua omboh di depan mengapit cakera 220 mm dan brek omboh tunggal dengan cakera 190 mm di belakang.
Sistem ABS berfungsi dengan IMU bagi mengurangkan angkatan belakang.

MSX125 Grom digerakkan enjin 125cc sejukan udara yang menghasilkan 9.6 kuasa kuda (hp) pada 7,250 rpm dan tork 10.5Nm pada 5,500 rpm.
Prestasi itu sama sahaja dan begitu juga kelajuan maksimum 94 kilometer sejam (km/j). Kotak gear lima kelajuan memacu gegancu 15T di depan dan 38T di belakang.
Dari segi penggunaan minyak, motosikal ini hanya menggunakan seliter petrol untuk tunggangan sejauh 66 kilometer (WMTC).
Sebagai sebuah motosikal yang popular untuk diubah suai, paip ekzos (downpipe) dan peredam adalah dua komponen berasingan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin