Pakej Honda Access iaitu N-Box Custom Premium Style dan N-Box Modern Casual Style membangkitkan lagi daya tarikan.
Walaupun dunia kereta berada di dalam era elektrifikasi, N-Box masih kekal dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) tanpa perkakasan elektrik.
N-Box digerakkan dua pilihan enjin iaitu 660 cc i-VTEC dengan kuasa 58 ps pada 7,300 rpm dan 65Nm pada 4,800 rpm.
Satu lagi enjin tiga silinder iaitu 660 cc turbo menghasilkan 64 ps pada 6,000 rpm dan 104Nm pada 2,600 rpm.
Enjin turbo dilengkapi pintu sisa elektrik yang mengawal tekanan galak seperti diperlukan.
Kedua-dua jenis enjin dipadan bersama kotak gear CVT dan pilihan pacuan roda depan (FF) atau empat roda (4WD).
Satu lagi ciri baharu ialah fungsi henti melahu (idling stop) dikembangkan semasa penukaran gear dari D atau N kepada P semasa meletakkan kereta berdepan.
Enjin tidak hidup dan kereta boleh diletakkan dengan senyap. N-Box dijual dari 1,648,900 yen (RM48,197) manakala N-Box Custom dari 1,849,100 yen (RM54,049).
Jika N-Box kereta terlaris, Honda Vezel (HR-V) pula menduduki tempat pertama jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu dalam setengah tahun pertama 2024.
Jualan dalam tempoh tersebut berjumlah 44,164 unit dan sejak dilancar pada Disember 2013, sebanyak 660,000 unit Vezel dijual di Jepun.
Jualan di pasaran tempatan juga tidak kurang hebat. Generasi kedua mengambil giliran pada April 2021 dan model perubahan ringan (MMC) diperkenal pada April lalu.
Nampak serupa tetapi berbeza pada bahagian jeriji dan Honda turut memperkenalkan varian baharu e:HEV X HuNT buat penggemar gaya hidup aktif.
Tidak seperti pasaran tempatan yang mempunyai tiga pilihan enjin termasuk 1.5 liter turbo, Vezel ditawarkan enjin 1.5 liter i-VTEC dan hibrid e:HEV dua motor.
Enjin 1.5 liter i-VTEC pada Vezel G memiliki kuasa 118 ps pada 6,600 rpm dan 142Nm pada 4,300 rpm. Enjin dipadan bersama kotak gear CVT dan hanya pacuan 4WD ditawarkan.
Enjin 1.5 liter e:HEV pula menghasilkan 78 ps dari 6,000 sehingga 6,600 rpm dan 127Nm dari 4,500 sehingga 5,000 rpm.
Motor elektrik berkuasa 96 kW (131 ps) dari 4,000 sehingga 8,000 rpm dan 253Nm dari 0 sehingga 3,500 rpm.
Model e:HEV menggunakan CVT elektrik dan pelanggan ditawarkan pilihan FF dan 4WD.
Harga Vezel G dan satu-satunya varian tanpa hibrid ialah 2,648,800 yen (RM77,476). Varian asas hibrid iaitu Vezel e:HEV X FF pula berharga 2,888,600 yen (RM84,493).
Walaupun Vezel MMC sudah diperkenal, HR-V mungkin mengambil masa beberapa ketika dan untuk makluman, jeriji HR-V lebih agresif berbanding Vezel.
Penulis: Muhammad Md Tajudin