Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda N-VAN e: 2024 mampu bergerak sejauh 210 km (datal WLTC), sementara pek bateri pula boleh dicas penuh menggunakan pengecasan AC 6 kW selama lima jam.
Sementara pengecasan pantas DC 50 kW pula membolehkan pengecasan sehingga 80 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja.
Selain menyokong fungsi V2H (Vehicle-to-Home), Honda N-VAN e: juga boleh dijadikan sebagai unit genset bergerak yang mampu membekalkan tenaga kepada perkakasan elektrik, dengan keupayaan sehingga 1,500 W.
Terdapat tiga varian utama yang disediakan, iaitu e:L2, e:L4 dan e:FUN.

N-VAN e:L2 merupakan varian paling asas yang hanya ditawarkan secara eksklusif menerusi kedai dalam talian Honda ON.
Ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu utama halogen, perumah cermin sisi yang tidak dicat, serta dua pilihan warna iaitu Taffeta White III dan Luna Silver Metallic.

Ruang kabin e:L2 ini hanya mampu memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa, ini kerana tempat duduk penumpang sebelah kiri dan penumpang belakang telah dibuang untuk memaksimumkan kapasiti ruang kargo sedia ada.
N-VAN e:L4 pula membawakan ciri yang sama seperti e:L2, namun dengan ruang kabin yang mampu memuatkan sehingga empat orang.

Binaan tempat duduk yang unik pada baris pertama dan kedua yang boleh dilipat rata itu membolehkan N-VAN e:L4 ini diubah menjadi van kargo pada bila-bila masa yang diperlukan.
Turut kelihatan ciri yang tidak wujud pada e:L2, seperti tempat meletakkan cawan, corong pendingin hawa untuk penumpang hadapan, serta kehadiran dulang kecil pada papan pemuka.

Akhir sekali, pembeli boleh mendapatkan varian yang paling lengkap N-VAN e:FUN.
Tidak seperti dua varian terawal itu tadi, N-VAN e:FUN datang dengan ciri yang lebih premium, seperti unit lampu utama LED, perumah cermin sisi mengikut warna badan, dan penutup rim.
Terdapat lapan warna yang ditawarkan untuk varian e:FUN, termasuklah Platinum White Pearl, Autumn Yellow Pearl, Botanical Green Pearl, Sonic Gray Pearl dan Nighthawk Black Pearl, serta tiga warna dua tona iaitu Autumn Yellow Pearl/Black, Botanical Green Pearl/Black dan Sonic Gray Pearl/Black.

Ruang kabin N-VAN e:FUN pula menampilkan skema warna tiga tona yang lebih ceria dengan penampakan ruang dalaman yang lebih mesra pengguna.
Secara standard, N-VAN e: dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda SENSING seperti sistem brek pengelakan pelanggaran (CMBS), bantuan suluhan tinggi, dan pengelakan keluar jalan.
Sementara dua varian tertinggi mendapat tambahan ciri Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS), notifikasi pergerakan kenderaan hadapan, fungsi pengecaman papan tanda, serta kawalan jelajah adaptif (ACC).