Di sinilah segalanya bermula, asas kepada Civic baharu, Accord seterusnya, dan mungkin satu era baharu dalam kejuruteraan Honda.
Prototaip Yang Lebih Dari Sekadar Kajian
Pada pandangan pertama, model ini mungkin kelihatan seperti Civic ujian dengan pelekat hitam putih, tapi di bawahnya, ada sesuatu yang jauh lebih penting.
Ia dibina atas platform pertengahan generasi baharu Honda, dan disertakan dengan enjin 2.0 liter baharu yang direka khas untuk sistem hibrid dua motor terkini Honda.
Matlamatnya? Gabungkan kecekapan dan keseronokan memandu tanpa kompromi, dan selepas beberapa pusingan di litar ujian itu, penulis berani mengatakan Honda berada di landasan yang betul.
Kuasa Hibrid Baharu – Senyap Tapi Berkarakter
Enjin 2.0 liter baharu itu digandingkan dengan dua motor elektrik berkecekapan tinggi, menjadikan responnya sangat segera, tapi apa yang menarik, bukan hanya kuasa, tetapi bagaimana ia memberi rasa.
Dalam mod Normal, ia senyap dan lancar, masuk sahaja ke mod Sport+, sistem tenaga terasa lebih agresif, tork datang dengan cepat, dan bunyi enjin diselaraskan melalui Active Sound Control.
Ada sedikit “grit” pada deruman enjinnya, cukup untuk buat anda lupa bahawa ini sebenarnya sebuah hibrid.
Yang membezakan sistem ini dengan generasi sebelumnya ialah Energy Management Control baharu, yang bijak menukar antara mod EV, Hybrid, dan Engine Drive berdasarkan niat pemandu, bukan semata-mata keadaan jalan.
Handling & Platform – Serius Tentang Dinamik
Platform baharu itu sememangnya satu inovasi, struktur lebih ringan, tapi lebih kukuh, hasil penggunaan bahan campuran dan reka bentuk modular.
Yang menarik, Honda kini memperkenalkan sistem Motion Management System yang menggunakan teknologi postur dari pembangunan robot ASIMO mereka.
Kereta ini seolah-olah “membaca” pergerakan anda, setiap input stereng, setiap tekanan pedal, semuanya diterjemah dengan tepat tanpa rasa terlalu dikawal.
Tambahan sistem Pitch Control pada Agile Handling Assist pula memberi lebih kestabilan ketika masuk selekoh laju, menekan beban ke tayar depan untuk cengkaman lebih tinggim dan hasilnya, turn-in terasa serta dan natural.
Rasa Di Balik Stereng – Inilah Civic Yang Kita Tunggu
Penulis tak boleh dedahkan semua angka dan spesifikas, tapi cukup untuk penulis katakan, sistem hibrid itu membuatkan Civic generasi baharu terasa seperti sedan sport yang matang.
Sistem pemanduan adaptif terasa lebih halus, dan transmisi e-CVT digantikan dengan kawalan kuasa terus yang lebih spontan.
Tiada lagi “rubber band effect”, sebaliknya, ia terasa seperti gearbox sebenar dengan hubungan terus antara pedal dan roda.
Honda nampaknya faham satu perkara penting, dalam era elektrifikasi, bukan kuasa yang kita rindukan tetapi perasaan kawalan itu sendiri.
Honda Next Generation Hybrid itu pastinya bukan sekadar kereta ujian, namun bayangan masa depan, sebuah manifesto bahawa Honda tidak akan membiarkan dunia hibrid menjadi hambar.
Dan selepas memandu model ujian ini, penulis boleh katakan kalau inilah asas Civic baharu nanti, kita bakal melihat kelahiran semula sedan harian yang benar-benar memberi makna pada perkataan Honda feel.