Kitaran produk Odyssey RC yang dikeluarkan sejak 2013 nampaknya terus bersambung selepas Honda memutuskan untuk menawarkannya kembali di Jepun.
Faktanya ialah Odyssey RC tidak pernah ditamatkan kerana masih dijual di China. Bukan setakat dijual, Odyssey juga dikeluarkan di sana.
Odyssey pasaran Amerika Utara pula lain cerita dan hanya berkongsi nama dan mempunyai badan berbeza dengan saiz lebih besar.
Odyssey mempunyai sejarah panjang, generasi pertama diperkenalkan di Jepun pada 1994 dan sayang jika ditamatkan begitu sahaja.
Odyssey 2023 akan dibawa masuk dari kilang Honda Guangqi, Guangzhou dan dikenali sebagai Odyssey e:HEV ABSOLUTE EX BLACK EDITION.
Panjang untuk disebut dan jika dipecahkan bermaksud model hibrid dalam varian Absolute EX dan versi Black Edition.
Honda belum memperincikan rangkaian kuasa dan berdasarkan model China, nadi e:HEV merujuk kepada enjin 2.0 liter dengan dua motor.
Odyssey juga boleh dipandu dengan kuasa elektrik tunggal sebelum beralih kepada dua lagi mod iaitu hibrid dan enjin pembakaran dalaman.
Black Edition pula merujuk gril depan, cermin sisi dan rim aluminium berwarna hitam.
Lampu belakang juga dihitamkan dan secara keseluruhannya Odyssey 2023 nampak seperti sebuah van sporti.
Pada bahagian dalam, kerusi Ottoman balutan kulit dengan empat larasan elektrik menonjolkan gaya mewah dan Honda turut melengkapi barisan kedua dengan pemanas.
Teknologi Honda Sensing dipertingkat dengan penambahan fungsi pembrekan pengurangan pelanggaran jarak dekat dan lampu besar automatik.
Fungsi sekatan pecutan mengejut pula ditawarkan sebagai pilihan pembelian. Maklumat lanjut seperti spesifikasi dan harga akan diumumkan kelak.
Penulis: Muhammad Md Tajudin