Inisiatif yang dijalankan oleh Honda pada ketika ini menyaksikan pengujian ciri keupayaan pemanduan autonomi seperti 'Traffic Jam Chauffeur' dan 'Motorway Chauffeur' melibatkan sehingga empat unit sedan Honda Legend untuk tujuan penyelidikan.
Sehingga kini, ujian yang dijalankan itu merangkumi jaringan jalan raya di Jerman dengan jarak sejauh 25,900 km.
Teknologi yang digunapakai oleh Honda mampu memantau kondisi trafik di lebuh raya dan boleh mengambil alih kawalan kenderaan daripada pemandu apabila disahkan selamat oleh sistem.
Berdasarkan penawaran di Jepun, Honda Legend Hybrid EX sudah pun mampu membenarkan pemanduan tanpa tangan di Tahap Ketiga, namun Honda mahu mengembangkan lagi sistem ini dengan lebih jauh.
Menurut Dr. Robert Kastner, ketua di sebalik L3Pilot Project dan ketua unit R&D Honda Eropah berkata, "kami melihat teknologi pemanduan autonomi sebagai salah satu cabang penting terhadap teknologi keselamatan termaju kami.
"Berdasarkan kajian selama bertahun di dalam bidang ini, kami berasa amat lega untuk memainkan peranan aktif di dalam inovasi EU, dan untuk menyokong aktiviti penyelidikan termaju bagi pemanduan autonomi yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya Eropah.
Honda mensasarkan sifar kadar kematian trafik untuk kereta dan motosikal di peringkat global menjelang tahun 2050.