Honda ‘Reset’ Strategi: Jurutera diberi kuasa untuk hidupkan semula inovasi

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Nampaknya Honda kini berada dalam fasa paling mencabar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Selepas membatalkan beberapa projek kenderaan elektrik (EV) termasuk model 0 SUV, 0 Sedan serta kebangkitan semula Acura RSX, syarikat itu dijangka menanggung kerugian sehingga 15.8 bilion USD (RM 63.75 billion).

Malah, projek EV jenama Afeela yang dibangunkan bersama Sony juga telah dihentikan sepenuhnya.

Namun, cabaran Honda bukan sekadar isu EV semata-mata, di pasaran terbesar dunia, China, prestasi jualan Honda merosot dengan ketara. 

Daripada 1.62 juta unit jualan pada tahun 2020, angka itu jatuh kepada hanya sekitar 640,000 unit pada 2025, lebih membimbangkan, kadar penggunaan kilang kini hanya sekitar 50 peratus, jauh di bawah paras ideal industri iaitu 70 hingga 80 peratus untuk menjana keuntungan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe sendiri turun padang ke China untuk memahami bagaimana pengeluar tempatan mampu menghasilkan model baharu dengan begitu pantas. 

Selepas melawat pembekal automotif di Shanghai baru-baru ini, beliau mengakui realiti yang agak mengejutkan, pengeluar tradisional seperti Honda kini ketinggalan dari segi kelajuan pembangunan produk.

 

2

 

Di China, konsep “China Speed” bukan sekadar istilah, ianya realiti di mana pengeluar tempatan mampu membangunkan model baharu dalam tempoh dua tahun atau kurang, sedangkan jenama tradisional biasanya mengambil masa dua kali ganda atau lebih.

Ditambah dengan keupayaan pembekal tempatan yang cekap dan kos efektif, tekanan terhadap pengeluar global semakin meningkat.

Bagaimanapun, Honda tidak berdiam diri, sebagai langkah drastik untuk kembali kompetitif, syarikat itu kini mengembalikan kuasa kepada jurutera. 

Divisyen penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan distruktur semula menjadi entiti lebih bebas, dengan ribuan jurutera dipindahkan ke anak syarikat kejuruteraan baharu.

Langkah itu bertujuan memberi lebih autonomi kepada jurutera dalam membuat keputusan teknikal dan mempercepatkan proses pembangunan produk, berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang lebih berpusat di ibu pejabat.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan strategi tersebut, satu perkara jelas perlu diketahui, Honda kini sedang ‘reset’ cara mereka beroperasi. 

Dalam era automotif yang berubah pantas, terutama dengan kebangkitan EV dan teknologi baharu, kebebasan inovasi mungkin menjadi kunci untuk memastikan jenama Jepun itu kekal relevan.

 

Sumber: Nikkei Asia

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Koleksi baharu ini dilihat lebih menarik perhatian peminat kereta Honda, berbanding siri terdahulu…
Berita Global
Menurut laporan yang disiarkan oleh Reuters, pengeluar automotif kedua terbesar Jepun itu…
Berita Global
Mendahului Semua Jenama Utama Bagi Tahun Model 2024 Berikut ialah kedudukan pengeluar utama…