Honda S2000R – roadster dengan nadi Type R FK8, 306 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Sepanjang tempoh produksi Honda S2000 selama sembilan tahun, tidak pernah sekali pun roadster tersebut muncul dalam versi prestasi tinggi Type R.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Bagaimana jika wujud S2000 Type R yang sebenar?
 

honda


Evasive Motorsports muncul dengan sebuah projek modifikasi S2000R, di mana roadster Honda tersebut telah diberikan nafas baharu serta enjin serba baharu.

Nadi tarik belakang F20 itu telah dihukum buang daerah, dan digantikan dengan nadi K20 turbo yang diperoleh daripada Civic Type R FK8 306 hp, serta komponen berprestasi tinggi lain seperti manifold kemasukan Evasive, sistem downpipe yang dinaiktaraf, kemasukan gentian karbon Mugen dan sistem pengurusan enjin MoTec M140.
 

Honda


Selain itu, Evasive Motorsports turut menaiktaraf sistem pembeza gelincir terhad (LSD), sistem brek depan yang terdiri daripada angkup Brembo enam omboh dan rotor 14 inci, angkup brek empat omboh pada gandar belakang, sistem suspensi gegelung dan brek tangan kustom daripada Evasive.

Transmisi asal manual enam nisbah kelajuan S2000 masih lagi dikekalkan di mana ia dihubungkan dengan enjin menerusi perumah kustom.
 

Honda


Untuk ruang kabin, kluster ‘digital’ klasik yang asal telah digantikan dengan skrin digital MoTec, diikuti dengan tempat duduk Recaro, trim Alcantara, serta kemasan panel pintu daripada gentian karbon.

Untuk menjadikan penampilan S2000R ini lebih agresif, Evasive Motorsports telah membawakan kit badan yang terdiri daripada lip hadapan gentian karbon, muka hadapan S2000 20th Anniversary, fender hadapan lebar, diikuti dengan komponen gentian karbon (hud, trunk, tonneau cover dan spoiler belakang).
 

S2000


Menurut Evasive Motorsports, para pemilik S2000 sedia ada boleh mendapatkan pakej yang ditawarkan, dengan harga yang akan diumumkan kelak.