Jika ada yang terpesona dengan warna Nardo Grey, ketahuilah bahawa puluhan tahun dulu Honda telah menggunakan warna kelabu untuk 'Honda Samah'.
Warna Pearl Cadet Gray baharu ini pula seperti membangkitkan semula identiti tersebut dan nampak begitu sepadan dengan Super Cub C125.
Satu lagi warna ialah Matte Axis Gray Metallic dan secara keseluruhannya ada tiga pilihan termasuk warna sedia ada Pearl Nebula Red.
Dari segi rekaan, model ini membawa gayaan Super Cub C100 yang merupakan model pertama di dalam siri Super Cub.
Pereka Honda berjaya mengolah semula rekaan klasik tersebut dengan penuh gaya dan sentuhan moden.
Jika Volkswagen dan MINI terkenal dengan Beetle dan Cooper, Super Cub pula merupakan khazanah dunia permotoran Jepun.
Super Cub C125 kekal digerakkan enjin JA58E 123 cc OHC yang menghasilkan 9.8 ps dan tork 10Nm dan dibekalkan tangki petrol 3.7 liter.
Motosikal ini moden dan canggih dengan pancitan bahan api PGM-FI, Honda SMART Key, lampu LED, brek cakera dan sistem ABS.
Bagaimana dengan harga? Diimport dari Thailand, Super Cub C125 dijual pada harga 440,000 yen (RM14,550.23).
Penulis: Muhammad Md Tajudin