Honda Super-One Prototype | K-Car elektrik, seronok dipandu!

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Dalam dunia di mana semua kereta elektrik mula terasa sama, Honda Super-One datang dengan satu misi mudah, nak buat kita tersenyum dan menikmati pemanduan.

Kecil, ringkas dan nampak seperti mainan, tapi bila duduk di belakang stereng, Super-One bukan sekadar K-Car untuk pemanduan santai di bandar. 

Ia bukti bahawa fun-to-drive tak perlu datang dengan enjin 2.0 turbo atau casis sport, cukup dengan falsafah kukuh, resepi yang tepat dan keberanian untuk buat sesuatu yang berbeza.

 

2

 

EV K-Car Pertama Honda – Lahir Dari Semangat N-One

Model konsep Super-One ialah interpretasi moden kepada semangat kei-car Jepun, kecil, efisien, tapi penuh karakter, ia dibina atas platform ringan siri N Honda, menggunakan casis yang dilebarkan dengan jarak roda dan fender lebar.

Bateri nipis diletakkan tepat di tengah bawah lantai, menjadikan pusat graviti rendah dan keseimbangan casis yang sangat baik. 

 

3

 

Penulis sempat mencubanya di litar pendek di Tochigi, dari luar nampak comel, tapi bila di jalan, ia lincah dan tenang seperti hatchback segmen-B.

Dalam mod biasa, Super-One terasa jinak dan senyap, tipikal bagi sebuah EV bandar, tapi bila tekan butang Boost Mode, semuanya berubah.

 

Boost Mode – ‘Kick’ Yang Tak Dijangka Dari EV Kecil

Sistem ini dibangunkan khas untuk Super-One, ia bukan sekadar menambah kuasa bateri, tapi turut mensimulasikan rasa transmisi 7 kelajuan dan bunyi enjin menerusi sistem Active Sound Control.

Bunyinya tidak terlalu tiruan, malah cukup realistik untuk buat penulis senyum sendiri, ia berjaya menghidupkan semula sensasi “rev” dan “shift” yang kita rindukan dalam dunia EV yang sunyi.

 

4

 

Gear maya bertukar dengan hentakan lembut, ada sedikit ‘kickdown shock’ bila tekan habis pedal, dan rev "hang" yang terasa seolah-olah anda betul-betul menukar gear manual.

Bukan sekadar gimik, ia merupakan satu interpretasi baharu tentang bagaimana emosi pemanduan boleh dipindahkan ke dalam EV.

 

Handling: Kecil Tapi Serius

Dengan berat badan ringan dan pusat graviti yang sangat rendah, Super-One terasa stabil walaupun di selekoh tajam, tindak balas sterengnya pantas, suspensi sedikit keras tetapi kawalan badan sangat baik.

Honda jelas masih menjaga DNA dinamiknya, on-centre feel bagus, dan anda boleh rasa berat kereta berpindah dengan progresif bila masuk atau keluar selekoh. 

 

5

 

Kalau ada satu perkataan untuk menggambarkan cara ia berpusing di selekoh, penulis akan kata — “nakal”, kecil, tapi penuh tenaga.

 

Ruang Dalam & Pengalaman Harian

Seperti biasa, konsep Man Maximum, Machine Minimum (M/M) masih jadi tunjang, kabin terasa agak luas walaupun saiz luar kecil, dan meter digitalnya ringkas serta mudah dibaca.

Setiap butang dan kawalan terasa ergonomik, praktikal, dan dibuat untuk orang yang suka memandu, tambahan fungsi Boost Mode menjadikan Super-One bukan sekadar pengangkutan, tetapi hiburan harian yang tak pernah bosan.

Super-One bukan kereta yang cuba menyaingi Tesla atau Hyundai Ioniq, bukan tentang jarak atau prestasi ekstrem, ia tentang rasa, rasa yang membuatkan anda nak memandu lagi satu pusingan sebelum balik rumah.

 

6

 

Honda berjaya membuktikan bahawa elektrifikasi tak semestinya membosankan, ia boleh jadi ringan, menyeronokkan, dan penuh jiwa, asalkan jurutera masih ingat apa itu joy of driving.

Dalam dunia yang semakin sunyi dengan motor elektrik, Super-One ialah bukti bahawa keseronokan masih hidup, cuma kali ini, dalam bentuk yang lebih kecil dan lebih pintar.

Bakal dilancarkan pada tahun 2026, amat menarik penawaran yang bakal diberikan oleh Honda, dan jika ianya masuk ke pasaran Malaysia, penulis dengan sukanya ingin mengatakan bahawa Super-One telah mencuri perhatian untuk merancang semula kewangan.

 

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Di sinilah segalanya bermula, asas kepada Civic baharu, Accord seterusnya, dan mungkin satu era…
Informasi
Fokus utama? Elektrifikasi, keselamatan, dan paling penting, mengekalkan “Joy of Driving” atau…