Honda Thailand kongsi tips ketika banjir

oleh Careta.my|
Sekarang ini musim tengkujuh dan syukur kepada Tuhan, belum ada bencana besar yang berlaku seperti penghujung tahun 2014.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Walaupun begitu, tidak bermakna kita boleh leka, dengan perubahan iklim dunia sekarang ini, cuaca menjadi tidak menentu dan panas di pagi hari tidak bermakna tiada hujan di sebelah petangnya.

Jika tidak bah besar, banjir kilat boleh berlaku pada bila-bila masa berpunca dari hujan yang sangat lebat dan sistem perparitan yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak. Lebih menyedihkan apabila kereta yang elok diparkir pada sebelah pagi ditenggelami air pada petangnya.

Jika mengalami keadaan serupa, apakah yang harus dilakukan? Khas untuk pembaca Careta, kami sediakan 6 tips ringkas jika kereta ditenggelami air.

Lebih menarik, kami cuba terjemahkan melalui grafik poster yang disediakan oleh Honda Thailand ini - negara yang murah dengan senyuman. Tips Banjir Honda Thailand 2017.01

1. Sawadikap! Langkah pertama  - buka kesemua pintu

Selepas banjir reda, bukalah kesemua pintu kecuali tingkap automatik. Tetapi awas, jangan gunakan kunci kawalan penggera ya (remote control)!

Guna kunci manual. Selepas bonet, pintu dan but dibuka biarlah ia terdedah kepada cahaya. Elakkan swafoto, kekalkan fokus anda dan ingat tugasan kita ialah hendak menyelamatkan kereta yang disayangi. Jika anda bersedih, harap bersabar kerana ini ujian daripadaNya.

15972525_10154258824291245_4998216354354942485_o

2. Langkah Kedua dan Ketiga - buka bonet dan jangan hidupkan kereta

Sama seperti telefon yang dimasuki air, jangan sekali-kali menghidupkan enjin kereta. Ada yang kata, simpan telefon dalam beras supaya cepat kering dan mungkin ada kesahihannya. - Tidak berani pula kami nak tanya beras untuk kereta.

Harus diketahui kereta sekarang ini dilengkapi pelbagai perkakasan elektronik. Seperti yang dipelajari di kelas Sains dahulu (terima kasih Cikgu!), air dan elektrik bukanlah sahabat karib.

Pantang bertemu pasti padah hasilnya. Biarkan sahaja kereta dalam keadaan begitu.

Jika hendak swafoto waktu ini, silakan untuk kenang-kenangan dan pengajaran. Elakkan dari muat naik ke media sosial semata-mata untuk humble brag - istilah baharu ujub, riya' atau menunjuk-nunjuk untuk meraih perhatian.

Tips Banjir Honda Thailand 2017.03

3. Langkah Keempat dan Kelima - cabut bateri dan cuci kenderaan

Berdasarkan langkah pertama tadi di mana pintu perlu dibuka secara manual, berkemungkinan sistem elektronik kereta masih lagi berfungsi dan akibatnya riuh sekampung dek penggera yang berbunyi.

Jika ini berlaku usah panik, cabut sahaja kabel bateri. Jika tidak berkeyakinan, mohonlah pertolongan mereka yang lebih mahir dan biasa dengan kerja seperti ini.

Mengikut grafik yang diberikan, langkah kelima ialah mencuci luaran kereta. Ini tidak susah mana, cucilah mana yang patut dan jika hati masih bersedih melihat lumpur dan kotoran pada kereta, sila turuti langkah terakhir di bawah.

Tips Banjir Honda Thailand 2017.04

4. Langkah Keenam dan Terakhir - serahkan pada yang pakar!

Kerja pemulihan selepas banjir adalah suatu yang rumit dan jika tersilap langkah, besar akibatnya.

Hati juga sedih melihat kenderaan pasca banjir namun jika buntu, kebiasaannya pengeluar di Malaysia menyediakan pakej khas untuk bencana alam seperti diskaun untuk pembaikan dan harga alat ganti.

Jalan paling ringkas ialah hubungi sahaja pusat servis bertauliah untuk mereka uruskan dari servis enjin hinggalah pembersihan luaran dan dalaman kenderaan.

Andai kata terdapat makluman penting dari pengeluar, kami di Careta akan cuba siarkannya secepat mungkin untuk hebahan bersama. Jika kawasan rumah atau tempat yang anda biasa parkir mempunyai risiko ditenggelami air, eloklah melanggani Takaful yang mempunyai perlindungan khas untuk bencana.

Pastikan juga perlindungan itu anda fahami dan benar-benar merangkumi apa yang dimahukan. Akhir sekali, marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk dilindungi dari segala bencana.

Semoga tips di atas berguna dan kami memohon maaf jika ada kesilapan dari terjemahan ini!

Kredit Foto: Honda Thailand

Artikel oleh Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Informasi
Sejarah sebalik jambatan ini adalah ia hasil inovasi seorang jurutera tentera British semasa Perang…
Berita Domestik
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, rakyat cukup sengsara…
Informasi
"Saya menyeru kepada penduduk yang terjejas dan orang ramai yang ingin memasuki bandar Kota Tinggi…