Honda Vario 125 Street Tampil Gaya Baharu - dari RM7,468

oleh Firdaus Razani|
Boon Siew Honda tampil memperkenalkan model baharu dalam barisan skuter automatik mereka, iaitu Honda Vario 125 Street yang kini membawa pendekatan lebih segar untuk kegunaan harian.

Lebih daripada sekadar skuter biasa, model ini cuba gabungkan elemen gaya ‘street culture’ dengan fungsi praktikal yang memang relevan untuk pengguna urban hari ini.

Apa yang menarik, Vario 125 Street ini hadir dengan karakter rekaan yang lebih berani, termasuk penggunaan naked handlebar dan meter digital berasingan yang memberikan rasa tunggangan lebih santai serta kurang meletihkan.

Pada masa sama, identiti V-shape di bahagian depan masih dikekalkan, cuma kini tampil lebih agresif dan moden.

 

honda

 

Dari sudut prestasi pula, skuter ini dikuasakan enjin satu silinder 124.9cc liquid-cooled dengan teknologi eSP yang menghasilkan kuasa output maksimum pada 11.4 hp dan tork pula mencecah 11.9 Nm.

Trenkuasa tersebut dipadankan dengan transmisi kotak gear CVT.

Selain itu, Honda turut mengekalkan fokus terhadap kecekapan bahan api dengan pengiktirafan EEV, dan dipadankan dengan Idling Stop System (ISS) yang membantu jimat minyak ketika berhenti.

 

honda

 

Masuk ke bahagian ciri pula, Vario 125 Street dilengkapi pelbagai fungsi yang memudahkan rutin harian.

Antaranya termasuk Smart Key system untuk keyless start, port USB-C untuk pengecasan, serta ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 18 liter, cukup untuk helmet atau barang harian.

 

honda

 

Dari segi keselamatan, model ini menggunakan Combi Brake System (CBS) yang membantu pengagihan kuasa brek dengan lebih seimbang.

Tambahan pula, adanya parking brake lock memberi lebih keyakinan ketika berhenti di kawasan cerun.

 

honda

 

Untuk pasaran Malaysia, Vario 125 Street ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Ungu dan Putih, dengan harga bermula dari RM7,468 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km, bergantung mana yang terdahulu.