Diposisikan di bawah model HR-V, WR-V generasi kedua ini membawakan ukuran sepanjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,485 mm, sementara jarak lega bumi adalah setinggi 220 mm.
Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC DOHC yang mampu menjana kuasa 121 PS @ 6,600 rpm, dan daya kilas 145 Nm @ 4,300 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT serta sistem pacuan roda hadapan.
Tiada versi hibrid e:HEV diperkenalkan buat masa ini.
Terdapat dua varian yang boleh dipilih, iaitu versi asas SV serta varian RS yang lebih sporti dengan membawakan skema warna dua tona (bumbung hitam), lencana wajib RS, rim aloi bersaiz 17 inci (asas dapat 16 inci), serta aksen hitam berbanding kemasan perak pada model SV.
Selain itu, varian RS turut mendapat ciri tambahan seperti lampu kabus LED, paddle shifter, sistem bunyi dengan enam pembesar suara, kemasan jahitan kontras merah serta sistem telematik Honda Connect.
Namun, ciri standard yang dimuatkan termasuklah lampu utama LED automatik beserta lampu DRL LED, lampu belakang LED, dan tidak ketinggalan lampu isyarat membelok jenis sekuential.
Masuk ke dalam ruang kabin, Honda WR-V 2023 dibekalkan dengan skrin paparan berbilang info TFT bersaiz 4.2 inci, paparan meter analog, roda stereng balutan kulit, upholsteri gandingan kulit/fabrik, serta skrin Display Audio tujuh inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Kelengkapan Honda SENSING juga adalah standard untuk kedua-dua varian, namun varian RS mendapat tambahan ciri Honda LaneWatch.
Harga jualan Honda WR-V 2023 bermula dari 799,000 baht (RM104,121) untuk varian SV, sementara varian RS pula sedikit mahal, dari 869,000 baht (RM113,243).
Bagaimana pula dengan Malaysia?
Baru-baru ini, pembaca Careta telah menemukan kelibat SUV segmen A yang masih berselubung dengan pelekat samaran di Kuantan, Pahang.
Unit SUV itu dilihat menggunakan nombor pendaftaran perdagangan M 246 A, di mana nombor tersebut adalah hampir sama dengan unit CR-V generasi baharu yang kami pernah siarkan sebelum ini.
Persoalan, adakah Honda WR-V 2023 ini mampu memberikan saingan sebenar kepada 'king' SUV segmen A Perodua Ativa?