Horse Technologies perkenal enjin HR12 LPG – Hasil kerjasama Renault & Geely

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Dalam kesibukan industri berlumba ke arah elektrifikasi, satu inovasi besar dan berita baik hadir dari Romania untuk masa depan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Kerjasama antara dua kumpulan besar dari Eropah dan China, iaitu Renault dan Geely melalui pengeluaran enjin suntikan terus (direct injection) LPG (liquified petroleum gas) pertama di dunia untuk kegunaan massa telah pun bermula.

Projek ini direalisasikan oleh Horse Technologies, sebuah syarikat pakar pembangunan sistem pacuan rendah emisi yang lahir dari kerjasama Renault Group dan Geely Fund untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman dan hibrid generasi baharu.

Enjin baharu HR12 LPG, sebuah enjin 1.2 liter tiga silinder turbo yang direka untuk beroperasi dengan petrol dan LPG.

Revolusi terbesarnya terletak pada penggunaan teknologi direct injection untuk LPG, sesuatu yang belum pernah dilihat pada enjin produksi besar-besaran sebelum ini.

Selain dwi-bahan api, enjin ini turut digabungkan dengan sistem mild hybrid 48 volt, lengkap dengan belt-driven starter generator dan penukar DC/DC.

Sistem tersebut dikatakan mampu memberi tambahan tork ketika pecutan, mengurangkan penggunaan bahan api, serta menurunkan pelepasan CO2.

Dari segi prestasi, enjin itu menghasilkan 138 hp pada 5,500 rpm dan 231 Nm seawal 2,100 rpm dan menariknya, apabila menggunakan LPG, terdapat pengurangan emisi CO2 sebanyak 9 peratus berbanding petrol.

Sistem bahan api LPG pada HR12 telah direka semula sepenuhnya, dimana ia menggunakan sistem suntikan terus khas, penyejat elektronik untuk kawalan mampatan lebih tepat, serta komponen mekanikal yang diperkuat.

Tangki LPG pula boleh diletakkan di ruang tayar ganti tanpa menjejaskan ruang dalaman, sama seperti yang dilihat pada teksi di Malaysia suatu ketika dahulu.

 

2

 

Dibangunkan oleh pasukan jurutera di Romania, enjin HR12 LPG mematuhi piawaian Euro 6e dan telah bersedia untuk Euro 7.

Enjin tersebut akan dihasilkan di kilang Horse di Mioveni, Romania yang mampu menghasilkan sehingga 450,000 enjin setahun.

Menurut CEO Horse, Patrice Haettel, “Kehadiran HR12 LPG membuktikan komitmen kami dalam menawarkan penyelesaian pacuan inovatif merentasi semua jenis bahan api."

"Teknologi suntikan terus untuk LPG ini adalah yang pertama di dunia dan membuktikan kepimpinan global Horse Technologies dalam bidang bahan api alternatif.” kata Haettel.

Setakat ini, tiada lagi enjin LPG suntikan terus yang dihasilkan secara besar-besaran.

Kebanyakan enjin dwi-bahan api (petrol/LPG) masih menggunakan teknologi suntikan tidak langsung, di mana LPG dicampur dengan udara sebelum masuk ke silinder, dimana ia mengehadkan prestasi dan kecekapan berbanding petrol.

HR12 LPG membawa tiga inovasi serentak yang belum pernah digabungkan sebelum ini pada enjin LPG:

  • Direct injection untuk LPG
  • Mild hybrid 48 volt
  • Pengeluaran berskala industri

Gabungan inovasi itu membolehkan pembakaran lebih tepat dan optimum, kuasa lebih baik, penggunaan bahan api lebih efisien, serta pelepasan emisi yang lebih rendah.

Ringkasnya, enjin HR12 LPG adalah satu pencapaian teknologi yang perlu diberi perhatian, kerana ia bukan sahaja lebih bersih, malah membuktikan bahawa enjin pembakaran dalaman masih mampu berevolusi dalam era peralihan kepada mobiliti elektrik.

Buat masa ini, Horse Technologies belum mengumumkan model spesifik untuk enjin tersebut, tetapi kalau ikut logik, enjin HR12 LPG dilihat sesuai untuk dipasang pada kereta segmen compact SUV atau hatchback.

Renault mungkin akan guna pada model popular mereka seperti Captur atau Clio, Geely pula pada model Coolray, Boyue, atau SUV segmen B mereka yang lain.

Dan jangan lupa, Proton ada hubungan rapat dengan Geely, Kalau kena gaya, tidak mustahil satu hari nanti kita boleh nampak X50 atau X70 versi LPG-hybrid atas jalan Malaysia.

Perkara ini tidak mustahil terjadi jika kerajaan benarkan infrastruktur LPG automotif berkembang semula di Malaysia.

Kalau teknologi HR12 ni masuk, ia boleh jadi alternatif mampu milik untuk pemilik kereta yang nak jimat minyak tapi masih belum sedia beralih terus ke EV.