Huawei Luxeed V9 bakal jadi MPV pertama dunia dengan helmet airbag

oleh Qalif Latif|
Huawei menerusi jenama Luxeed dilaporkan bakal mencipta sejarah dalam industri automotif apabila model MPV baharu Luxeed V9 menjadi kenderaan produksi massa pertama di dunia yang dilengkapi sistem helmet airbag terbina dalam tempat duduk.

Model ini dibangunkan di bawah kerjasama antara Huawei dan Chery, serta dijangka memasuki pasaran domestik China sekitar musim bunga 2026 sebagai model flagship baharu jenama tersebut.

Kerjasama Huawei dan Chery di bawah HIMA Alliance

Luxeed merupakan jenama usahasama Huawei dan Chery yang diperkenalkan pada tahun 2023 sebagai sebahagian daripada HIMA Alliance. Setakat ini, Luxeed mempunyai dua model iaitu sedan S7 dan SUV R7, kedua-duanya ditawarkan dengan pilihan trenkuasa elektrik penuh (BEV) dan extended-range electric vehicle (EREV).

Luxeed V9 akan menjadi model ketiga dan juga MPV pertama jenama ini, dengan fokus kepada teknologi, keselesaan serta keselamatan penumpang tahap tinggi.

Huawei Luxeed V9

 

Teknologi helmet airbag pertama dalam industri

Menurut pendedahan blogger automotif China, Hai Daxing ECC di Weibo, Luxeed V9 akan menggunakan sistem helmet airbag yang berfungsi seperti pelindung kepala. Ketika pelanggaran, tempat duduk akan ditarik semula secara automatik ke posisi lebih selamat sebelum helmet airbag mengembang bersama beg udara sisi.

Sistem ini direka khusus untuk melindungi kepala, leher dan tulang belakang penumpang, terutamanya bagi kerusi barisan kedua yang sering digunakan dalam posisi reclining atau mod zero-gravity.

Dibangunkan oleh pembekal automotif global

Teknologi helmet airbag ini dibangunkan oleh Yanfeng Automotive Interior Systems dan mula diperkenalkan pada tahun 2023. Yanfeng merupakan pembekal sistem dalaman automotif kepada pelbagai pengeluar global termasuk Volkswagen, Toyota, BMW, Stellantis, BYD dan Geely.

Huawei Luxeed V9

Fokus utama sistem ini ialah keselamatan tempat duduk, dengan ciri pre-crash seat quick return yang menerima input daripada sistem ADAS untuk melaraskan posisi tempat duduk sebelum pelanggaran berlaku. Selain tali pinggang keselamatan terbina dalam, beg udara prapasang akan mengembang lebih awal bagi mengurangkan daya lenturan ke hadapan penumpang serta risiko kecederaan lumbar.

Platform, saiz dan teknologi kabin

Luxeed V9 dibangunkan menggunakan platform modular E0X (E0X-L) milik Chery, yang turut digunakan oleh model Exlantix ET dan Exlantix ES. MPV ini dilaporkan mempunyai jarak roda panjang serta panjang keseluruhan melebihi 5.3 meter, menekankan ruang kabin yang luas dan keselesaan premium.

Huawei Luxeed V9

Antara kelengkapan yang pernah didedahkan termasuk skrin penumpang bersaiz besar, peti sejuk kabin, sistem penjana oksigen, LiDAR 192-line, dua kerusi barisan kedua bebas dengan fungsi zero-gravity, serta ruang simpanan belakang dengan penutup lembut dan sistem buka elektrik.

Trenkuasa 800V dan sistem pemanduan autonomi

Dari segi trenkuasa, Luxeed V9 akan menggunakan sistem voltan tinggi 800V serta unit pacuan yang dibangunkan oleh Huawei. MPV ini turut dilengkapi Huawei Qiankun Advanced Driving System (ADS), dan disasarkan sebagai model L3-ready dari segi keupayaan pemanduan autonomi.

Luxeed V9 akan ditawarkan dalam konfigurasi EV dan EREV, dengan bekalan bateri disahkan datang daripada CATL.

Setakat ini, teknologi helmet airbag tersebut masih belum diumumkan secara rasmi oleh pengeluar. Namun jika direalisasikan, Luxeed V9 berpotensi menetapkan penanda aras baharu dalam aspek keselamatan MPV mewah global.

Huawei Luxeed V9

Sumber: CarNewsChina