Huawei Maextro S800 terima 3,600 tempahan dalam tujuh hari

oleh Qalif Latif|
Huawei terus mengukuhkan kehadirannya dalam industri automotif dengan model sedan mewah elektrik terbaharu, Maextro S800, hasil kerjasama bersama JAC Motors. Dalam tempoh hanya tujuh hari selepas pelancarannya di pasaran China, model ini berjaya menerima sebanyak 3,600 tempahan, satu angka yang cukup mengagumkan bagi sebuah sedan elektrik berprofil tinggi dari China.

Huawei

Model ini dijual pada harga bermula 708,000 yuan (~RM464,000) untuk varian asas, manakala versi tertinggi mencecah 1,018,000 yuan (~RM667,000) menghampiri segmen ultra-mewah yang sebelum ini didominasi jenama-jenama seperti Mercedes-Maybach S-Class dan Yangwang U7.

Huawei

Maextro merupakan jenama automotif hasil usahasama Huawei dengan JAC, bekas pengeluar kenderaan untuk Nio. Projek ini menyaksikan kedua-dua syarikat membina kilang khas bersama, dengan JAC bertanggungjawab terhadap pembangunan senibina modular dan proses pembuatan, manakala Huawei pula menyumbang sebagai pembekal komponen utama serta menguruskan pemasaran dan jualan melalui rangkaian HIMA (Harmony Intelligent Mobility Alliance).
 

Huawei

Model Maextro S800 secara rasmi dilancarkan pada 30 Mei 2025, dan dalam masa 24 jam pertama sahaja, ia menerima 1,600 tempahan dengan 70% daripadanya adalah untuk varian tertinggi. Dua hari selepas pelancaran, jumlah tempahan meningkat kepada 2,100 unit, sebelum mencecah 3,600 tempahan pada hari ketujuh.

Penghantaran pertama dijangka bermula Ogos ini, dengan kilang Maextro mempunyai kapasiti tahunan sehingga 100 bilion yuan (~RM65.5 bilion), bersamaan dengan sasaran lebih 100,000 unit jualan setahun, atau sekitar 8,300 unit sebulan.
 

Huawei

Maextro S800 hadir dengan dimensi besar panjang 5,480 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,536 mm, dan jarak roda 3,370 mm. Bahagian hadapannya menampilkan lampu LED berkembar mendatar, dengan pilihan kamera menggantikan cermin sisi tradisional.
 

Huawei

Model 5 tempat duduk

Huawei
Model 4 tempat duduk

Rekaan dalaman pula menampilkan teknologi terkini Huawei termasuk paparan HUD, sistem audio dengan 43 pembesar suara dan kuasa maksima 2,920 W, serta dua konfigurasi tempat duduk 4-tempat duduk (ultra-premium) dan 5-tempat duduk (standard premium). Penumpang belakang juga boleh mengawal cermin sisi melalui isyarat tangan.

Konsol tengah dilengkapi paparan utama 15.6 inci, manakala penumpang hadapan mendapat skrin 16 inci tersendiri.

Huawei

Model ini ditawarkan dalam versi EV (all-electric) dan juga EREV (extended range EV). Berikut antara pilihan trenkuasa:

EV Dual-Motor
Kuasa: 390 kW (523 hp)
Bateri: 95 kWh
Jarak: 702 km (CLTC)

EREV Dual-Motor & Tri-Motor
Kuasa: 390 kW hingga 635 kW (852 hp)
Generator: 1.5L 115 kW (154 hp)
Bateri: 65 kWh
Jarak EV sahaja: 365 – 400 km

Huawei

Senarai harga rasmi (anggaran RM):

Maextro S800 EV 5-tempat duduk – 708,000 yuan (~RM464,000)
Maextro S800 EREV Dual-Motor 5-tempat duduk – 708,000 yuan (~RM464,000)
Maextro S800 EREV Tri-Motor 5-tempat duduk – 788,000 yuan (~RM516,000)
Maextro S800 EV 4-tempat duduk – 818,000 yuan (~RM535,800)
Maextro S800 EREV Dual-Motor 4-tempat duduk – 818,000 yuan (~RM535,800)
Maextro S800 EREV Tri-Motor 4-tempat duduk – 1,018,000 yuan (~RM667,000)

Dengan prestasi setanding, teknologi termaju dan rekaan bertaraf antarabangsa, Huawei kini menunjukkan bahawa jenama China bukan sahaja mampu bersaing malah berpotensi mendominasi segmen kenderaan mewah elektrik global.

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Maextro akan ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa: elektrik sepenuhnya (BEV) dan versi jarak…
Berita Global
Sebanyak 100 buah trak autonomi sepenuhnya kini beroperasi di lombong terbuka Yimin, dalam wilayah…
Berita Global
Tren Rekaan & Teknologi Terkini Stelato S9 Wagon menampilkan garis bumbung yang mengalir,…