Hype Motorsports, hotel yang wajib anda kunjungi!

oleh DIANA ISMADI|
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Jika anda adalah salah seorang daripada peminat dunia permotoran, sudah pasti anda akan teruja melihat rekaan dalaman Hotel Hype Motorsports ini.

 

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang lobi hotel ini, tentunya anda akan terpegun dan teruja melihat konsep permotoran daripada susun atur, rekaan kerusi dan meja dan paling menarik, kaunter “Pit Stop” iaitu butik jualan produk berjenama terkenal dunia permotoran.

 

Dengan berkonsepkan dunia permotoran, Hotel Hype Motorsports merupakan hotel butik pertama di Asia yang berkonsepkan dunia permotoran sepenuhnya dan diusahakan oleh anak Melayu.

 

Majlis pelancaran Hype Motorsports Hotel Nilai ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Sri Abdul Khani Daud. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Hj. Azizan Noordin.

Terletak di tengah-tengah bandar Nilai, hotel ini telah melibatkan pelaburan sebanyak RM12 juta. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hanya mengambil masa 15 minit.

 

Harga yang ditawarkan adalah serendah RM150 hingga RM280 dengan tiga jenis bilik ditawarkan iaitu Standard, Superior dan Family.

 

Walaupun dengan harga yang berpatutan, hotel ini menawarkan pelbagai kemudahan seperti pendingin hawa, kunci pintu dengan kad sentuh, pengesan asap, akses internet Wi-fi percuma, televisyen, ruang parkir dan lain-lain.

“Belum ada lagi mana-mana hotel di Malaysia malah di negara Asia yang menampilkan konsep dunia permotoran dan ini peluang terbaik kepada kami untuk memprkenalkan konsep ini julung-julung kalinya kepada rakyat Malaysia” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management Sdn Bhd, Johari Mohd Yusof.

 

Pengalaman kami bermalam di Hotel Hype Motorsports

Hotel ini kini mempunyai 75 bilik yang direka unik berkonsepkan permotoran menerusi susun atur kerusi, katil dan paparan grafik.

 

Jujur kami katakan yang hotel ini menawarkan harga yang berbaloi dan beri kami pengalaman yang cukup berbeza.

 

Apa tidaknya, rekaan dalaman hotel sangat menarik dengan paparan grafik serta gambar berlatarbelakangkan aksi perlumbaan.

 

Ada juga bilik yang bertemakan lagenda permotoran dunia seperti Michael Schumacher, Valentino Rossi, Tony Cairoli, Sebastian Loeb dan sebagainya.

 

Selain itu, bilik “premier” turut dilengkapi dengan kerusi urut untuk keselesaan pelanggan.

 

Kemudahan lain yang ditawarkan adalah seperti café Paddock Club, yang menyediakan makanan halal untuk sarapan hingga makan malam, kolam renang atas bumbung, perkhidmatan sewa motosikal dan kereta serta perkhidmatan mencuci motosikal dan kereta (tertakluk kepada terma dan syarat).

 

Buat anda yang gilakan dunia permotoran atau inginkan satu pengalaman yang berbeza, kami syorkan anda singgah dan tinggal di Hotel Hype Motorsports. Harga berpatutan, rekaan dalaman menarik, bilik selesa dan bersih, kemudahan lengkap, makanan sedap, dan sangat berbaloi. 

Bukan itu sahaja, kemudahan Pit Stop di kawasan lobi juga menawarkan pelbagai cenderahati seperti baju, topi serta aksesori asas untuk menunggang atau memandu dan lain-lain lagi.

Menurut Johari, Malaysia akan menjadi tuan rumah terakhir pada tahun ini menganjurkan Perlumbaan F1 pada 29 September hingga 1 Oktober 2017. Pihak hotel kini tidak mahu melepaskan peluang untuk menawarkan pakej lengkap kepada mereka yang berminat menyaksikan F1 2017.

"Kami juga merancang membuka beberapa lagi hotel berkonsepkan ini di beberapa lokasi strategik seluruh negara sekiranya menerima sambutan baik daripada orang ramai" kata Johari.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.hypenilai.com. Untuk tempahan, sila hubungi talian 012-3796056 atau emel: [email protected].