Selepas kereta berhenti, ACR berkomunikasi dengan IONIQ 6 untuk membuka pelindung slot pengecasan.
Bagaimana ianya dibuat? Sistem akan membuat kiraan tentang lokasi dan sudut yang tepat menggunakan kamera.
Robot itu kemudian mengangkat kabel dan memasangnya pada slot dan memulakan sesi pengecasan.
Selepas selesai, robot akan mencabut pengecas, meletakkan kembali pada tempatnya dan menutup pelindung slot pengecasan kereta.
Walaupun nampak ringkas, projek ini adalah hasil teknologi robot canggih kumpulan Hyundai.
Makmal Robotik Hyundai mengambil kira pelbagai aspek dalam membangunkan ACR sebagai contoh lokasi parkir kenderaan dan bentuk slot pengecasan.
Turut dipertimbangkan ialah cuaca, halangan dan berat kabel pengecasan.
Ianya berfungsi menggunakan teknologi perisian yang boleh membuat kiraan semua faktor tersebut secara serentak supaya ACR dapat memasang plug pengecas dengan selamat.
Bagi melakukan pemprosesan tersebut Hyundai telah membangunkan algoritma pada kamera tiga dimensi berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kawalan teknologi canggih juga digunakan supaya robot dapat mengendalikan pengecas yang berat dengan tepat.
Satu faktor yang penting ialah kebanyakan pengecas EV dipasang di luar tanpa bumbung.
Apa yang jurutera Hyundai buat ialah membina satu stesen pengecasan luar di pusat penyelidikan dan pembangunannya dan melakukan pelbagai ujian.
Hasilnya ACR Hyundai telah memperolehi gred kalis air dan habuk IP65. Gred itu bermakna ACR Hyundai mempunyai perlindungan habuk tahap tertinggi.
Penarafan itu juga bermakna ACR Hyundai mampu menahan semburan jet air tekanan rendah dari kesemua arah.
Jurutera projek juga memasang tiang keselamatan dengan sensor laser terbina dalam di sekeliling robot bagi mencegah kemungkinan berlakunya kemalangan.
Sistem itu berfungsi dengan mengesan objek statik dan bergerak. Canggih? Memang canggih!
Penulis: Muhammad Md Tajudin