Nama Hyundai Casper ini bukanlah diambil daripada karakter hantu yang comel itu, sebaliknya ia merupakan rujukan kepada teknik papan selaju yang dicipta oleh Bobby 'Casper' Boyden pada tahun 70-an.
Penampilan Casper membawakan gandingan elemen retro dan moden, di mana bahagian hadapan menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, dan varian asas pula hadir dengan rekaan gril parametrik.

Sementara varian 'aktif' pula mendapat bulatan tambahan yang bertindak sebagai liang kemasukan udara untuk intercooler.
Rekaan bahagian belakang pula agak tegak dengan rekaan lampu parametrik terintegrasi pada cermin belakang, sementara rekaan sekan lampu di bahagian bawah pula merupakan unit pembias cahaya berbentuk bulat.
Sebagai sebuah 'crossover', Casper turut didatangkan dengan pemasangan skid plate, cladding plastik, rekaan fender bersegi, serta jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi.

Menurut laporan media tempatan, Hyundai Casper membawakan ukuran dimensi dibawah empat meter, dengan panjang 3,595 mm, lebar 1,595 mm, tinggi 1,575 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,400 mm, menjadikannya jauh lebih kecil berbanding model-model SUV segmen B Hyundai seperti Bayon, Creta, Venue dan juga Kona.
Berkongsi platform dengan Kia Picanto/Hyundai i10, Hyundai Casper turut didatangkan dengan pilihan enjin tiga silinder 1.0 liter aspirasi natural (75 hp), atau enjin 1.0 liter turbo (99 hp) yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik lima kelajuan.
Model Casper ini juga dijangka akan dieksport ke India dengan enjin 1.2 liter Kappa MPI yang menghasilkan 83 hp, manakala versi elektrik (EV) dijangka tiba menjelang pertengahan 2023 dengan modul pemanduan terintegrasi (iDM) yang disumberkan daripada BorgWarner.

Difahamkan, produksi Hyundai Casper bakal bermula di Korea pada 15 September ini, manakala tarikh pelancaran sebenar akan diumumkan kelak.