Hyundai Creta 2024 facelift rasmi di India, boleh pilih tiga enjin, empat jenis transmisi!

oleh Mohamad Hanif|
SUV segmen B Hyundai Creta merupakan salah satu produk penting dalam portfolio Hyundai di India, dan antara produk yang paling laris terjual di sana.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Pengeluar itu baharu sahaja melancarkan Hyundai Creta 2024 versi facelift dengan membawakan pembaharuan yang lebih mendalam.

Di India, Hyundai Creta 2024 bakal memberikan cabaran kepada pesaing seperti Kia Seltos, Maruti Suzuki Grand Vitara, Toyota Urban Cruiser Hyryder, serta Honda Elevate.
 

Creta


Terdapat tiga pilihan enjin ditawarkan di sana, iaitu 1.5 liter MPi (115 PS/144 Nm), 1.5 liter Kappa Turbo GDi (160 PS/253 Nm) serta enjin diesel 1.5 liter CRDi (116 PS/250 Nm) serta empat jenis kotak gear, iaitu transmisi manual enam kelajuan, IVT, automatik enam kelajuan atau DCT tujuh kelajuan.

Elemen rekaan Sensuous Sportiness menguasai bahagian luar Creta facelift, dengan ciri seperti lampu quad-beam LED, lampu nyalaan siang melintang penuh, serta unit lampu belakang yang mengikut pendekatan yang sama.

Dari segi ukuran, Creta facelift membawakan dimensi sepanjang 4,330 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,635 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,610 mm.
 

creta


Selain daripada rekaan luaran, Hyundai turut mengemaskini ruang kabin dengan membawakan susun atur papan pemuka serba baharu.

Terdapat skrin kluster digital sebesar 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, butang kawalan iklim serba baharu, serta corong pendingin hawa yang lebih kemas.

Antara kelengkapan lain termasuklah bumbung kaca panorama, fungsi pengudaraan untuk tempat duduk hadapan, tempat duduk pemandu boleh laras lapan tahap, sistem pencahayaan ambien, serta sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara.
 

creta


Selain itu, Hyundai Creta boleh disambungkan kepada peranti pintar menerusi teknologi Bluetooth, di mana pemilik boleh mengawal lebih 70 fungsi dari jarak jauh seperti menghidup/mematikan enjin, kunci/nyahkunci, informasi kenderaan dan amaran kecurian.

Kelengkapan keselamatan juga tidak kurang hebatnya, di mana Creta facelift membawakan pakej ADAS Tahap 2 Hyundai SmartSense yang merangkumi fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan, sistem pemantauan titik buta, bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, serta kawalan jelajah pintar.

Ciri keselamatan pasif pula merangkumi enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, dan sistem pemantauan tekanan tayar.
 

creta


Di India, harga jualan Hyundai Creta 2024 facelift bermula dari Rs 10,99,900 hingga Rs 19,99,900 (RM62,391-RM113,442).

Saksikan iklan rasmi Hyundai Creta 2024 yang menampilkan selebriti Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone: