Hyundai dedah imej acah i20 N - amaran kepada Polo GTi, Fiesta ST!

oleh Mohamad Hanif|
Minggu lalu, Hyundai telah pun memperlihatkan secara rasmi model hatchback di bawah jenama N-Line, iaitu i20 N-Line, dan kali ini, giliran model hot hatch sebenar bakal menyusul, i20 N.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dijadualkan penjualannya menjelang separuh pertama tahun hadapan, Hyundai i20 N merupakan hatchback yang lebih serius, dilihat membawakan penggayaan yang lebih agresif menyerupai rekaan yang terdapat pada i30 N.

Di bahagian hadapan, para jurutera telah mencipta liang kemasukan udara yang lebih besar, diikuti dengan kehadiran splitter hadapan berwarna merah.

Disebalik rim bersaiz 18 inci itu terlihat kelibat angkup brek N berwarna merah terang, di mana warna merah itu turut dilayangkan pada skirt sisi hot hatch tersebut.

 


Melihat kepada gambar teaser yang diterbitkan oleh Hyundai, ia menampilkan warna Performance Blue dan diselangi dengan warna Phantom Black pada tiang, bumbung dan juga cermin sisi.

Turut kelihatan pemasangan spoiler bumbung yang tidak terdapat pada model i20 N-Line, menjadikan i20 N ini tampak lebih garang.

Tiada sebarang informasi berkenaan trenkuasa yang bakal menduduki perut i20 N, namun beberapa laporan media sebelum ini mencadangkan enjin 1.6 liter empat silinder sebaris turbo yang mampu menghasilkan 200 hp.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang memacu roda hadapan menerusi LSD tersedia.

Jika dilihat kepada penawaran i30 N yang kini dilengkapi dengan transmisi klac berkembar, tidak mustahil model i20 N ini akan dilengkapi dengan kotak gear yang serupa.

Pelancaran rasmi i20 N dijangka bakal berlangsung dalam masa terdekat.