
Dikeluarkan pada 2019, i10 generasi ketiga kini memasuki fasa rupa baharu (facelift) yang masih mengekalkan wajah asal berbanding lampu nipis seperti model Hyundai lain.
Turut diperkenalkan i10 N Line yang tampil sporti dan diinspirasi dari model berprestasi N.
Untuk pasaran United Kingdom (UK), i10 2023 ditawarkan dengan sembilan warna dan dua daripadanya pilihan baharu iaitu Lumen Grey dan Meta Blue selain bumbung hitam.
Bahagian dalam lampu besar dan lampu LED depan dan belakang mempunyai rekaan baharu dan nampak menarik dengan lampu DRL susunan sarang lebah.

Susunan begitu mengingatkan kepada Golf GTI Mk8 dan GT-R rupa baharu yang diperkenalkan baru-baru ini. Lampu LED belakang pula memaparkan bentuk H.
Satu lagi komponen yang menonjol ialah roda aloi 15 inci dengan rekaan baharu.
Pada bahagaian dalam, i10 2023 dipasangkan lampu mood warna biru pada kerusi depan.
Pembeli yang mahukan sesuatu lebih menonjol boleh dapatkan Purple Package dengan kerusi fabrik corak tartan, garisan unggu dan riasan unggu pada sulaman dan corong udara.

Model i10 N Line membawa gayaan sporti dengan bampar depan berbeza, riasan merah dan roda aloi 16 inci. Bahagian dalam dihiasi kerusi yang mempunyai jaluran merah.
Selain penampilan dalam dan luar, i10 2023 dilengkapi kluster LCD 4.2 inci, slot USB Jenis C di depan dan belakang.
Turut dilengkapi sistem eCall generasi kedua berasaskan 4G dan kemas kini peta secara Over The Air (OTA).
Komponen lain kekal seperti skrin lapan inci, Audio Video Navigation (AVN), sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto dan pengecas tanpa wayar.

Untuk keselamatan, kesemua varian didatangkan bersama teknologi Hyundai Smart Sense.
Sistem Bantuan Pengelakan Pelanggaran Berdepan (FCA) kini merangkumi pembonceng basikal selain Bandar, Antara Bandar dan Pejalan Kaki.
Turut dilengkapi Bantuan Mengikuti Lorong (LFA) dan Peringatan Penumpang Belakang (ROA).
Dari segi praktikaliti, hatchback segmen A ini mempunyai ruang but 252 liter dan meningkat kepada 1,050 liter apabila kerusi dibaringkan.
Pengeluaran i10 2023 dijadual pada April 2023 dan dipasang di kilang Hyundai yang terletak di Izmit, Türkiye.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
