Ada dua versi i20 yang dibahagi kepada Eropah dan India. i20 India mempunyai ukuran panjang 45 milimeter (mm) lebih pendek berbanding 4,040 mm i20 Eropah.
Ukuran itu dibuat bagi memanfaatkan dasar pencukaian di India. Walaupun sedikit pendek, i20 India lebih tinggi (+55 mm) dan lebar (+25 mm).
Beberapa tahun di pasaran, Hyundai memperkenalkan i20 yang diperkemaskan untuk pasaran Eropah.
Kali ini Hyundai tidak melakukan perubahan radikal dengan lampu halus melintang seperti Sonata dan Elantra 2023.
Sekali pandang, bahagian depan nampak sama namun berbeza dengan bampar yang lebih bersegi dan seperti permukaan tiga dimensi.
Gril pula ditukar dari corak jaring kepada gril cascading ala Hyundai Creta dan beberapa model lain lagi.
Bahagian belakang juga berubah dengan bampar baharu dan menyerlah dengan nyalaan lampu LED bentuk Z sedia ada.
Pada bahagian sisi, rim 16 inci dan 17 inci didatangkan dengan rekaan baharu.
Satu lagi yang perlu diberi perhatian ialah reka bentuk sisi i20 yang sporti hasil bumbung rendah dan landai dan jarak roda panjang.
Bumbung hitam dan warna badan yang terang menyerlahkan lagi bentuk dan kedudukan (stance) tersebut.
Ada lapan warna badan yang ditawarkan dan dua pilihan dengan bumbung hitam.
Tiga warna baharu yang ditawarkan ialah Lucid Lime Metallic, Lumen Grey Pearl dan Meta Blue Pearl.
Bahagian dalam i20 Lucid Lime meriah dengan riasan hijau selain corak kerusi baharu dan juga sulaman dalam warna hijau terang.
Kelengkapan model 2023 dipertingkat dengan skrin LCD 4.2 inci, USB jenis C, eCall generasi kedua berasaskan 4G dan kemas kini peta melalui Over-the-Air (OTA).
Pelanggan ditawarkan pilihan skrin meter 10.25 inci dan skrin paparan 10.25 inci, Apple CarPlay dan Android Auto dan sistem telematik Bluelink® dengan kemas kini terbaru.
Turut ditawarkan pengecas telefon tanpa wayar. Kereta bandar ini juga hebat dengan pilihan set BOSE® Premium Sound System.
Selain itu, mentol biasa diganti dengan lampu LED dan i20 2023 dilengkapi lampu suasana pelbagai warna untuk menaikkan mood penumpang.
Sebagai sebuah hatchback segmen B, but i20 mempunyai ruang 352 liter atau 1,165 liter dengan lipatan kerusi belakang.
Sistem keselamatan Hyundai Smart Sense dipertingkat dengan tambahan ciri standard.
Di antaranya fungsi Bantuan Pengelakan Pelanggaran Berdepan (FCA) untuk City, Interurban dan Pedestrian turut merangkumi Penunggang Basikal.
Turut dilengkapi sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LFA). Selain itu, pelanggan diberi pilihan untuk mendapatkan fungsi Bantuan Lintasan Pelanggaran Trafik Belakang (RCCA).
Juga ditawarkan fungsi Bantuan Pengelakan Titik Buta (BCA) dan Kawalan Jelajah Pintar berasaskan Navigasi (NSCC).
Tidak seperti i20 N atau i20 N WRC, i20 untuk pelanggan umum dibekalkan enjin 1.0 T-GDi mild hybrid dengan dua pilihan kuasa 100 PS atau 120 PS.
Enjin itu boleh dipadan bersama transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan atau klac berkembar tujuh kelajuan (DCT).
i20 2023 dijadual untuk dikeluarkan di kilang milik Hyundai di Izmit, Turkiye pada suku ketiga tahun ini.
Penulis: Muhammad Md Tajudin