Ada lagi perkhabaran besar, Ioniq 5 juga model Hyundai pertama dilengkapi port Tesla North American Charging Standard (NACS).
Maknanya belasan ribu pengecas Tesla tersedia untuk digunakan Ioniq 5 tanpa memerlukan penyesuai (adapter tambahan).
Ioniq 5 2025 turut ditawarkan dengan penyesuai Combined Charging System (CCS).
Semua kenderaan elektrik (EV) Hyundai (baru atau dipertingkat) dilengkapi port NACS bermula suku keempat 2024.
Ioniq 5 2025 dibekalkan dengan perkakasan baharu seperti bampar depan dan belakang yang menampakkan kelebaran kereta.
Spoiler belakang juga baharu dan pada bahagian sisi dilengkapi rim aerodinamik baharu dan pelanggan ditawarkan rel bumbung.
Menyahut maklum balas pelanggan, Hyundai Digital Key 2 Premium dan pengelap cermin belakang dengan pembasuh telah ditambah.
Ada tiga warna baharu iaitu Atlas White Matte, Ecotronic Gray Matte dan Celadon Gray Matte.
Pada bahagian dalam Hyundai menumpukan pada penambahbaikan ergonomik dan praktikaliti.
Stereng diganti dan bahagian atas konsol tengah atau Universal Island dilengkapi butang fizikal untuk fungsi yang kerap digunakan dan pad pengecasan ditempatkan sekali.
Hyundai turut memperkenal fungsi keselamatan baharu seperti Pengesanan Tangan Pada Stereng, Bantuan Mengikut Lorong 2 dan Bantuan Parkir Pintar Kawalan Jauh 2.
Lagi fungsi baharu Bantuan Pengelakan Pelanggaran Parkir (Undur/Depan/Sisi). Ada lapan beg udara termasuk bahagian sisi kerusi belakang.
Satu lagi yang menarik dan ketara ialah badan, tiang B, pintu depan dan belakang telah diperkukuh untuk mempertingkatkan perlindungan pelanggaran sisi.
Selain port pengecasan baharu, Ioniq 5 dilengkapi bateri dengan kapasiti lebih tinggi. Bateri model Standard Range ditingkatkan daripada 58 kilowatt-jam (kWj) kepada 63 kWj.
Model Long Range pula daripada 77.4 kWj kepada 84 kWj.
Bateri baharu bermakna jarak pemanduan bertambah sebagai contoh SE / SEL / Limited RWD dijangka boleh dipandu sehingga 499 kilometer (km) berbanding 488 km.
Selepas Ioniq 5 N, Hyundai membuat kejutan kedua dengan Ioniq 5 XRT. Tidak sangka Hyundai mempunyai idea untuk kegunaan lasak.
Ioniq 5 XRT direka bagi menarik perhatian pelanggan yang mahu bermain di luar jalan raya biasa dan menggunakan sebuah EV.
Bampar depan dan belakang berbeza daripada biasa dan bahagian sisi dilengkapi pendakap badan dari bawah pintu sehingga lengkungan roda.
Pendakap badan nampak menarik dengan corak samaran digital dan bukan hitam atau kelabu kosong.
Rim aluminium 18 inci juga berbeza dan dipadan bersama tayar semua permukaan (AT) 235/60.
Ioniq 5 dalam keadaan standard pun nampak gah dan ditinggikan lagi sebanyak 23 milimeter (mm) dengan ampaian talaan khas.
Badan lebih tinggi diterjemah kepada sudut pelepasan depan 19.8 darjah dan belakang 30 darjah berbanding 17.5 dan 25.4 darjah pada model biasa.
Bahagian dalam istimewa dengan kerusi balutan H-Tex™ dan corak khas XRT selain logo dan pelapik bumbung hitam.
Kaki pemandu dan penumpang dialas pelapik semua cuaca dan dengan logo XRT.
Warna badan juga istimewa melalui dua pilihan khas XRT iaitu Ultimate Red dan Cosmic Blue Pearl.
Dua warna itu diriasi bingkai cermin, logo H dan perumah cermin sisi warna hitam.
Ioniq 5 XRT hanya ditawarkan dalam pacuan semua roda (dua motor) dan bateri 84 kWj.
Penulis: Muhammad Md Tajudin