Tidak seperti Ioniq 5 yang didatangkan dalam bentuk SUV besar, Ioniq 6 pula lebih ke arah sebuah sedan dengan bentuk badan fastback di bahagian belakang, dan ia dilihat membawakan persamaan rekaan dengan model konsep Prophecy yang dipertontonkan sebelum ini.
Dari sudut rupa, sedan elektrik ini membawakan rekaan bersifat aerodinamik, dengan kadar pekali seretan serendah 0.21, angka terendah yang pernah dicatatkan oleh sebuah model Hyundai.
Ia disumbangkan dengan rekaan yang minimalis, kehadiran kepak udara di depan, kamera sisi menggantikan cermin sisi konvensional, serta rekaan bahagian belakang yang lebih rendah seperti ekor ikan paus - atau lebih menyerupai model kereta sports Porsche.
Bahagian belakang itu juga turut menampilkan dua komponen spoiler, satu di bahagian bawah cermin belakang dan satu lagi diintegrasikan kemas membentuk struktur ekor itik.
Sistem pencahayaan Parametric Pixel juga mengesahkan lagi identiti sedan ini sebagai ahli keluarga Ioniq.
Susun atur ruang kabin menempatkan dua skrin kluster instrumen digital dan infotainmen berkongsi satu paparan melintang yang besar, diikuti dengan tambahan dua skrin digital yang memaparkan pemandangan sisi kenderaan yang disalurkan daripada kamera sisi itu tadi.
Selain daripada itu, Ioniq 6 turut didatangkan dengan siste pencahayaan ambien di bahagian papan pemuka dan iluminasi yang datang daripada panel pintu bawah.
Jika anda perasan, panel pintu Ioniq 6 tidak lagi menampilkan butang fungsi, dan kekosongan tersebut membolehkan sedan elektrik ini menawarkan ruang storan ekstra di bahagian tersebut.
Sama seperti Ioniq 5, Ioniq 6 dibangun menggunakan platform E-GMP dan dijangka berkongsi trenkuasa yang sama seperti motor elektrik tunggal (225 hp/350 Nm) atau motor elektrik berkembar (320 hp/605 Nm), serta senibina elektrik 800 voltan.
Lebih banyak informasi bakal diketahui dalam masa beberapa bulan akan datang.