Hyundai lancar sedan baharu Verna 2023 untuk pasaran India

oleh Mohamad Hanif|
Suatu ketika dahulu, pihak Hyundai Malaysia pernah menawarkan sedan segmen B Hyundai Accent untuk pasaran Malaysia untuk tempoh masa yang singkat.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Penulis juga masih ingat akan kewujudan Accent dengan kit badan RX-S yang 'sporti', terutama logo RX-S yang ditampal pada model sedan itu.

Nama Accent kemudian lenyap dari pasaran, namun ia terus kekal hidup di beberapa pasaran utama dunia sebagai sebuah model sedan subkompak yang mampu milik.
 

Verna


Generasi keenam Hyundai Accent sudah pun muncul di pasaran India baru-baru ini dengan membawakan nama Verna dan diposisikan di tengah-tengah antara model segmen B Aura dan segmen C Elantra.

Hyundai Verna 2023 ini membawakan ukuran sepanjang 4,535 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm, lebih besar jika dibandingkan dengan sedan yang digantikannya.
 

Verna


Sebagai perbandingan, Verna 2023 mempunyai ukuran sedikit pendek berbanding Honda City sedan (4,553 mm), dan lebih panjang berbanding Toyota Vios baharu (4,425 mm) dan Nissan Almera (4,495 mm).

Dari segi rekaan luaran, Verna 2023 ini membawakan bahasa rekaan yang hampir sama diguna pakai pada model Kona, Staria dan Sonata, di mana unit lampu DRL LED direka memanjang sementara unit lampu utama pula terletak pada bahagian penghujung jeriji.

Rekaan belakang pula mengingatkan kita kepada rekaan sedan Elantra yang agak agresif itu.
 

verna


Sementara ruang kabin pula menempatkan sepasang skrin paparan bersaiz 10.25 inci, fungsi pemanas dan ventilasi pada tempat duduk balutan kulit, sistem pencahayaan ambien dan juga tema warna dua tona.

Terdapat juga bumbung suria berkuasa, tempat duduk pemandu boleh laras berkuasa elektrik, pad pengecasan peranti tanpa wayar dan juga paddle shifter.

Dari segi kuasa, Hyundai Verna 2023 didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter NA dengan kuasa 113 hp dan 144 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau IVT.
 

Verna


Versi 1.5 liter turbo pula menawarkan kuasa setinggi 156 hp dan 253 Nm, serta padanan transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar tujuh kelajuan.

Secara standard, kesemua trim dibekalkan dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem brek cakera semua roda, bantuan mula mendaki dan juga brek parkir elektrik.

Harga jualan Hyundai Verna 2023 di India bermula dari 10.90 lakh Rupee (RM58,605) hingga 17.38 lakh Rupee (RM93,445) untuk versi tertinggi.