Biarpun berkuasa elektrik, Hyundai tetap mahukan EV yang telah ditala itu mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan seperti apa yang dirasai pada model-model N yang terdahulu.
Dalam satu temubual bersama CarExpert, Penasihat Teknikal Hyundai Albert Biermann menjelaskan ia bukanlah sekadar perasaan gegaran penukaran gear semata-mata, akan tetapi mereka mahukan Ioniq 5 N menghasilkan bunyi dan pengalaman DCT yang hampir menyamai model hot hatch i30 N.

Untuk itu, Hyundai Ioniq 5 N bakal ditawarkan ciri Virtual Grin Shift (VGN) untuk mengaktifkan mod penukaran gear maya diiringi dengan sistem bunyi artifisial N Sound Plus.
Sistem bunyi palsu itu kini sedang ditala oleh Hyundai bagi menghasilkan runut-runut bunyi enjin yang bersesuaian.
Terdapat juga mod drift khas, serta talaan daya brek yang lebih kuat untuk sistem brek regeneratif yang sedang dirancang.
Spesifikasi Ioniq 5 N ini masih lagi belum didedahkan secara rasmi, namun Albert Biermann telah mendedahkan ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 600 hp dengan pecutan 0-100 km/j yang mungkin lebih pantas berbanding Kia EV6 GT.
Sumber: CarExpert