Hyundai Nexo - FCV pertama terima pengiktirafan Top Safety Pick+ IIHS

oleh Mohamad Hanif|
Institut Insurans Keselamatan Jalan Raya (IIHS) mengumumkan kenderaan sel bahan api (FCV) pertama yang diuji berjaya memperoleh markah cemerlang Top Safety Pick+.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hyundai Nexo berkuasa hidrogen yang hanya terdapat di California telah diuji atas permintaan daripada pengeluar Hyundai itu sendiri, dan hasilnya, cukup mengkagumkan.

 


Untuk mencapai markah tertinggi di dalam ujian pelanggaran IIHS, sesebuah kenderaan perlu mempunyai penarafan 'Baik' (Good) di dalam enam ujian yang dijalankan seperti:

  • pelanggaran bertindih kecil kiri 
  • pelanggaran bertindih kecil kanan
  • pelanggaran bertindih sederhana hadapan
  • pelanggaran sisi
  • kekuatan struktur bumbung
  • kekangan kepala (head restrain) dan tempat duduk

Manakala dua lagi ciri seperti lampu utama dan pencegahan pelanggaran hadapan juga merupakan ciri bonus bagi melayakkan sesebuah kereta memperoleh skor cemerlang. 

Senang cerita, Hyundai Nexo lulus dengan cemerlang dalam kesemua ujian yang dijalankan.
 


Menurut IIHS, ciri standard yang dilengkapkan pada Hyundai Nexo berjaya mengelak pelanggaran dalam julat kelajuan 19-40 km/j dan mempunyai amaran pelanggaran hadapan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan berwajib itu. 

Di Amerika Syarikat, Hyundai Nexo dijual pada harga bermula dari $58,300 (RM243,956) dengan kelengkapan standard seperti lampu LED, rim 17 inci, tempat duduk berkuasa elektrik balutan kulit dengan pemanas terbina dalam, serta ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, amaran titik buta dan kawalan pelayaran adaptif.
 


SUV ini mampu memecut sepantas 9.5 saat daripada 0-100 km/j, terima kasih kepada kuasa 161 hp dan daya kilas 394 Nm yang masuk penuh dengan hanya sekali tekan pada pendikit. 

Dengan pengisian penuh hidrogen yang mengambil masa kira-kira lima minit, ia mampu memberikan jarak operasi sejauh 612 km. 

 

Sumber: IIHS