
Bentuk Pony Coupe Concept begitu menyerlah dan futuristik dan lambang kepada impian besar.
Pony Coupe Concept membawa hasrat Pengasas Hyundai, Ju-yung Chung bagi menghasilkan sebuah kereta sport berprestasi.
Hasrat itu dicetuskan pada masa Hyundai belum lagi mempunyai keupayaan untuk merekabentuk atau membangunkan kereta sendiri.
Disebabkan keadaan ekonomi dunia pada penghujung 70-an, pengeluaran kereta sport pertama Hyundai tidak dapat direalisasikan.

Pony Coupe Concept terus berjasa dan mempengaruhi arah rekaan Hyundai. Dari ciri-ciri kereta itu boleh dibayangkan siapa individu di sebaliknya.
Tidak lain tidak bukan, Giorgetto Giugiaro dan kedua-dua kereta dan pereka ikonik tersebut ditemukan semula di dalam projek baik pulih Pony Coupe Concept.
Hyundai bekerjasama dengan firma GFG Style atau pasangan ayah dan anak Giorgetto dan Fabrizio Giugiaro.

Kereta itu sudah siap dan Hyundai mempertontonkannya di Tasik Como, Itali pada majlis Hyundai Reunion.
N Vision 74 concept juga dibawa ke majlis itu yang mempertemukan bekas jurutera dan pereka dan para jurutera dan pereka Hyundai sekarang.
Acara itu turut dihadiri pengurusan kanan termasuk bekas Presiden Hyundai Motor, Chung Goo Lee.
Pony Coupe Concept yang dibaik pulih menggunakan enjin 1,238 cc, 4 silinder dengan 82 kuasa kuda (hp) pada 6,000rpm.

Enjin itu dipasang secara menegak dan memacu roda belakang. Pony Coupe Concept berukuran 4,080 mm panjang, lebar 1,560 mm, tinggi 1,210 mm dan jarak roda 2,340 mm.
Walaupun hasrat untuk mengeluarkan Pony Coupe Concept tidak tercapai, cita-cita Hyundai untuk mengeksport kenderaan ke negara maju telah tercapai.
Bukan setakat itu, ekonomi dan taraf hidup rakyat Korea turut meningkat. Hyundai bukan sahaja kereta, konglomerat ini mewakili pelbagai industri di Korea dan serata dunia.
Sepanjang sejarah, Hyundai mempunyai pelbagai model dua pintu dan dua generasi Hyundai Coupe dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Mengingati kembali kenangan lima dekad lalu Giorgetto Giugiaro pada asalnya merasa skeptikal dan beliau sendiri tidak mengenali Hyundai Motor pada masa itu.
Beliau bagaimanapun kagum dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan para jurutera Hyundai.
Dengan kisah yang menarik, Pony Coupe Concept dan majlis di Tasik Como adalah satu pertemuan penting dan sekali lagi bersejarah.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
