Hyundai Staria - pengganti Starex, enjin Smartstream 3.5 liter, 268 hp/351 Nm, ruang kargo 5,000 liter!

oleh Mohamad Hanif|
Lebih perincian berkenaan MPV baharu Hyundai Staria telah pun didedahkan secara rasmi setelah pengenalannya dibuat secara rasmi pada bulan lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Hyundai menyifatkan Staria baharu ini sebagai sebuah Purpose Built Vehicle (PBV) dan seperti yang diketahui ia menampilkan rekaan luaran yang futuristik dengan bar lampu nyalaan siang, rekaan gril yang agak besar dan menempatkan unit lampu utama di bahagian sisi.

 


Rekaan tingkap sisi Staria juga dilihat agak besar berbanding rekaan yang biasa dilihat pada model-model MPV di dalam pasaran, sementara unit lampu belakang pula menampilkan rekaan lampu Parametric Pixel yang menyamai model Hyundai Ioniq 5.

Dari segi dimensi, Hyundai Staria membawakan ukuran panjang 5,253 mm, lebar 1,997 mm, dan tinggi 1,990 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,273 mm), menawarkan konfigurasi tempat duduk yang mampu memuatkan sehingga 11 orang.

Dalam situasi di mana Staria mampu memuatkan dua atau tiga orang, ruang kargo di belakang mampu memuatkan sehingga 5,000 liter atau saiz yang mampu memuatkan tiga unit palet Euro pada satu-satu masa.

 


Kelengkapan yang didatangkan untuk ruang kabin juga tidak kurang hebatnya, dimulakan dengan skrin infotainmen yang besar, skrin paparan kluster digital 10.25 inci, butang penukaran posisi gear, sistem pencahayaan ambien 64 warna, dan penawaran 'Premium Relaxation Seats' yang mempunyai keupayaan untuk dibaringkan dan digelongsorkan.

Dalam model Premium versi sembilan tempat duduk pula, kerusi baris kedua boleh dipusingkan 180 darjah supaya penumpang boleh berhadapan dengan penumpang yang duduk di baris ketiga.

Setakat ini, hanya dua varian yang akan ditawarkan iaitu Staria asas dan Staria Premium, namun Hyundai akan menawarkan lebih banyak varian Staria pada masa akan datang, termasuklah varian limosin, ambulans dan campervan.

 


Dari segi kuasa, Staria didatangkan dengan enjin diesel 2.2 liter VGT yang mampu menghasilkan 174 hp dan 431 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

Versi yang lebih berkuasa datang dengan nadi Smartstream 3.5 liter MPI yang mampu menghasilkan 268 hp dan 331 Nm, dan padanan transmisi automatik lapan kelajuan sahaja.

Hyundai Staria bakal mendarat di beberapa pasaran Asia dan Australia pada separuh kedua tahun 2021.

Baca: Hyundai Staria 2021 - Inspirasi Kapal Angkasa Lepas

Berita Berkenaan

Berita Global
  Sebagai rujukan, Staria pasaran tempatan digerakkan enjin 2.2 liter CRDi diesel turbo atau 3.5…
Berita Global
Namun, jangkaan awal penulis ternyata salah, kerana ia sebenarnya bukanlah varian baharu atau versi…
Berita Domestik
Selepas pelancaran Staria versi tujuh tempat duduk tahun lepas, pihak HSDM telah banyak mendapat…