Litar Hungaroring adalah lokasi perlumbaan FIA WTCR dan TCR Eropah dan ia memberi peluang kepada para jurutera untuk memahami keseimbangan casis di litar teknikal tersebut dan karakter kereta berkuasakan elektrik bagi memaksimumkan prestasi dan kecekapan.
Hyundai telah terlibat dengan TCR melalui i30 N TCR and Veloster N TCR dan melalui kepakaran yang ada, pasukan berhasrat untuk menghasilkan kereta yang kompetitif apabila ETCR berlangsung pada tahun depan.
Perlumbaan kereta penumpang elektrik adalah sesuatu yang baharu dan banyak perlu dipelajari. Ia sebenarnya adalah sejarah baharu di dalam dunia perlumbaan kereta yang kini menjangkau usia lebih daripada 100 tahun.
Kereta lumba Hyundai ini menggunakan motor elektrik di tengah dengan bateri ditempatkan pada lantai dan roda digerakkan pada bahagian belakang (RWD).
Reka bentuk suspensi double-wishbone belakang pula sangat radikal berbanding projek Hyundai Motorsport sebelum ini dan input dari setiap ujian adalah begitu penting.
Setiap sistem di dalam kereta akan diteliti dan diperkemaskan bagi menghantar penyertaan yang kuat pada tahun depan. Sebelum Hyundai, CUPRA adalah pengeluar pertama yang telah mengesahkan penyertaan di dalam ETCR.
Projek Hyundai Motorsport ini juga bakal memberi manfaat dalam kereta elektrik jalanan dan bakal membantu di dalam pembangunan kereta elektrik berprestasi tinggi pada masa depan.
Apabila ETCR dimulakan tahun depan ia pasti memberikan pengalaman tontonan yang berbeza. Walaupun tanpa bunyi nyaring seperti kereta lumba biasa, kereta elektrik mempunyai kuasa luar biasa.
Penulis: Muhammad Md Tajudin