IAA 2019 - sedan elektrik mewah Mercedes-Benz Vision EQS, jarak operasi 700 km!

oleh Mohamad Hanif|
Apa yang cuba dibawakan oleh Mercedes-Benz menerusi model Vision EQS ini adalah bayangan masa hadapan kereta elektrik segmen mewah dengan rekaan yang ringkas dan progresif dalam masa yang sama.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tidak menampilkan rekaan yang aneh dan terlalu futuristik, dan tidak kurang juga ciri teknologi terkini yang dimuatkan ke dalam satu pakej yang serba elegan ini. 

Lampu utama Digital Light menampilkan dua modul lensa holografik dan digandingkan dengan ciri 'lightbelt' yang menawarkan pelbagai konfigurasi nyalaan lampu mengikut keperluan. 
 


Di bahagian belakang sahaja terdapat kira-kira 229 lampu berbentuk bintang manakala gril hadapan menampilkan 188 unit LED individu yang mampu membentuk efek tiga dimensi. 

Dari segi dalaman pula, Mercedes-Benz membawakan inspirasi daripada kapal layar mewah di mana rekaan papan pemuka dilihat sebati dan berupa seakan dek bot mewah. 

Ini turut disumbangkan oleh penggunaan material berkualiti tinggi seperti mikrofiber DINAMICA, serta trim daun maple yang diperbuat daripada botol yang dikitar semula. 

 


Tidak dilupakan, penggunaan kulit artifisial yang membawakan perasaan seakan kulit nappa manakala roof lining pula diperbuat daripada tekstil yang dikitar semula daripada plastik sampah lautan. 

Mercedes-Benz Vision EQS hanya menampilkan skrin di konsol tengah, namun terdapat skrin individu yang diletakkan di kawasan perehat tangan di pintu, masing-masing dikuasakan oleh sistem MBUX termaju yang mampu mengawal segala operasi di dalam kenderaan. 
 


Mercedes-Benz Vision EQS dilengkapkan dengan pek bateri berkapasiti 100 kWh, dan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan 470 kuasa kuda dan 760 Nm daya kilas. 

Kuasa tersebut kemudian disalurkan kepada sistem pacuan semua roda memberikan kuasa pecutan kurang 4.5 saat (0-100 km/j) dan halaju maksimum 200 km/j. 

Jarak operasi pula mampu mencapai 700 km untuk sekali cas penuh manakala sistem pengecasan pantas 350 kW pula mampu memberikan kapasiti 80 peratus penuh dalam masa kurang dari 20 minit sahaja. 
 


Menerusi Vision EQS, Mercedes-Benz mahu menunjukkan kepada dunia kehebatan platform modular baharu yang digunakan dan boleh diaplikasikan kepada model-model konsep akan datang yang berbilang dimensi. 

Malah, sistem pemanduan autonomi Tahap Ketiga yang didatangkan pada EQS ini boleh ditukar kepada sistem autonomi sepenuhnya terima kasih kepada sistem sensor modular.