IESS 2019 - Myvi, Bezza berjaya cetus kerjasama antara vendor Malaysia dan India

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Minggu lalu, Careta diberikan peluang untuk mengikut sama menyertai acara International Engineering Sourcing Show (IESS 2019) yang berlangsung di Chennai, India. 

Acara yang memasuki tahun kelapan ini bertujuan untuk meneroka peluang memperkembangkan lagi pasaran eksport dan peluang sumber menerusi kolaborasi antara kedua buah negara, iaitu India dan juga Malaysia. 

Malaysia selaku rakan negara bagi acara IESS untuk tahun ini membawakan lebih daripada 100 buah syarikat, terdiri daripada peserta dan bukan peserta pameran bagi menunjukkan kepada dunia keupayaan sebenar industri automotif dan mobiliti rantau Asia Tenggara. 
 


Kehadiran dua buah produk pemasangan tempatan, iaitu Perodua Myvi dan Perodua Bezza di Malaysia Pavillion juga sedikit sebanyak menjadi batu loncatan yang merancakkan lagi aktiviti sepanjang tiga hari kami berada di sini. 

Berikut merupakan sedikit sebanyak apa yang kami dapatkan menerusi perjanjian persefahaman antara kedua-dua buah negara sepanjang tiga hari acara IESS 2019 berlangsung. 

 

ORS Technologies (MY) - Vernalis Engineering (IN)


ORS Technologies Sdn Bhd membawakan kepakaran di dalam kejuruteraan rekaan in-house serta keupayaan simulasi kejuruteraan dengan bantuan komputer (CAE). 

Digabungkan dengan keupayaan Vernalis Engineering di dalam aspek kepakaran domain dan sumber tenaga manusia dengan satu tujuan - memberikan khidmat kepada projek kejuruteraan dalam dan luar negara dengan lebih berkesan menerusi program Digital Engineering and Prototyping Program (DEP) yang dianjurkan oleh MARii. 

Menurut Pengarah Urusan ORS Technologies, Khairulnizam Ruslan berkata, sebelum MoU terjalin di IESS, kedua-dua syarikat telah pun mempunyai pengalaman bekerjasama untuk enam tahun kebelakangan ini. 

Dengan projek bernilai lebih USD 2 juta (RM8.2 juta), ORS dan Vernalis akan menumpukan perhatian di dalam aspek lightweighting, validasi maya, robotik, IoT serta beberapa aplikasi kejuruteraan yang lain. 

 

Feiran Technology (MY) - Team-D Technologies (IN)


Kepakaran Feiran Technology sangat meluas dan tidak tertumpu kepada industri automotif semata-mata, sebaliknya turut merangkumi aspek aeroangkasa, serta menawarkan solusi dalam menjadikan proses pembangunan produk lebih optimum. 

Ketika ditemubual, Shabudin Md Saman, Pengarah Urusan Feiran berkata, sebagai salah sebuah rakan kongsi teknologi dengan MARii, Feiran menjadikan program Industri 4.0 sebagai batu loncatan dalam membantu Team-D mencapai status Industri 4.0. 

Ketua Unit Pemasangan Team-D, Krishnakumar menambah, "menerusi MoU antara Feiran dan Team-D, kami berharap agar integrasi kepakaran antara kedua-dua buah syarikat ini dapat membawa masuk lebih ramai pakar serta meluaskan lagi pasaran kami."


IIOT Technology (MY) - HIM Robotics (IN) dan Jayvis Technologies (IN)


Terdahulu, IIOT Technology Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama HIM Robotics. 

Kerjasama antara kedua-dua belah pihak ini akan memastikan mereka mendapat manfaat daripada kepakaran di dalam IoT, platform analisis, pembelajaran mesin, Augmented Reality (AR) serta servis penempatan robotik. 

Manakala MoU di antara IIOT Technology Sdn Bhd dan Jayvis Technologies Private Limited diwujudkan bagi memfokuskan kepada aspek pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI). 

Ia akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan Agrikultur Pintar (Smart Agriculture) menerusi adaptasi teknologi IoT di dalam kedua-dua buah negara. 

 

Delloyd Industries (M) Sdn Bhd - Venu Engineering Services Private Limited (IN) dan Durable Marketing Private Limited (IN)


Delloyd Industries (M) sebagai sebuah syarikat yang pakar di dalam pembuatan pelbagai komponen automotif seperti pemegang pintu, bumper dan mud flap telah menandatangani perjanjian bersama dua buah syarikat India. 

Perjanjian persefahaman ini bertujuan untuk mewujudkan kolaborasi di dalam aspek latihan, kepakaran, informasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), keusahawanan, pelaburan serta beberapa aktiviti perniagaan yang berkaitan. 

Menjadikan IESS sebagai sebuah platform yang besar, Delloyd juga mampu untuk mengenalpasti serta mewujudkan kerjasama perniagaan strategik bersama syarikat-syarikat yang berpotensi. 


 


Terdahulu, pada hari pertama IESS 2019, MARii turut menandatangani perjanjian persefahaman selama tiga tahun bersama Engineering Export Promotion Council of India (EEPC India). 

MoU yang disepakati itu akan meneliti kolaborasi kedua-dua belah pihak di dalam adaptasi teknologi dan pembangunan industri automotif India dan Malaysia. 

Selain itu, ia juga bakal memfokuskan kepada pengurusan rangkaian sumber, pembangunan sumber manusia serta membenarkan kedua-dua buah negara untuk memanfaatkan kelebihan geografi masing-masing dalam meneroka pasaran serantau. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kira-kira 100 buah syarikat dari Malaysia kini menghadiri acara International Engineering Sourcing…