Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi bagi meneliti serta memperkemas prosedur operasi standard (SOP) membabitkan konvoi kenderaan dan pergerakan anggota PDRM. Langkah ini diambil bagi mengelakkan insiden sama berulang, khususnya ketika melibatkan pergerakan beramai-ramai dalam satu-satu operasi atau penugasan rasmi.
Menurut Tan Sri Razarudin, jawatankuasa itu akan diterajui oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan. Fokus utama ialah mempertingkatkan tahap keselamatan termasuk kajian semula terhadap jenis kenderaan yang digunakan serta aspek pematuhan undang-undang lalu lintas oleh pihak ketiga.
Dalam tragedi pada 13 Mei itu, sebuah lori membawa batu kelikir dipercayai hilang kawalan lalu merempuh trak FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan. Insiden ngeri itu mengorbankan sembilan anggota polis, manakala beberapa lagi dilaporkan cedera parah.
Tan Sri Razarudin turut mendedahkan bahawa PDRM akan mengkaji penggunaan bas khas serta pemasangan kamera dashcam pada kenderaan membawa anggota dan keluarga mereka sebagai satu lagi langkah penambahbaikan keselamatan.
“Ini termasuk juga pergerakan anak-anak anggota ke sekolah yang turut menggunakan kenderaan rasmi,” katanya kepada media.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kebajikan waris mangsa akan terus dijaga, termasuk keperluan pendidikan dan kehidupan anak-anak mereka. Bantuan menyeluruh akan disalurkan dari pelbagai sudut untuk memastikan keluarga yang ditinggalkan tidak terabai.