IJM mulakan operasi lebuh raya bertol di India

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan dari IJM
IJM Corporation Bhd (IJM) meraih satu lagi pencapaian di peringkat global apabila anak syarikatnya, IJM (India) Infrastructure Limited (IJM India) membuka laluan bertol empat lorong Solapur-Bijapur sepanjang 110 kilometer di India.


Projek infrastruktur membabitkan kos RM1.5 bilion dengan kontrak konsesi 20 tahun daripada Pihak Berkuasa Lebuhraya Kebangsaan India (NHAI) adalah projek terbesar IJM di negara berkenaan.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

 

Seksyen Solapur-Bijapur yang dibangunkan IJM adalah sebahagian daripada Lebuhraya Nasional 52 yang menghubungkan Maharashtra dan Karnataka.

 

Ia adalah antara kontrak terbesar yang dianugerahkan NHAI bagi mereka bentuk, membina, membiayai, operasi dan pemindahan (DBFOT).

 

Pembinaan tol itu bermula November 2018 dan siap sementara dalam tempoh 38 bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Liew Hau Seng, berkata di sebalik cabaran yang dicetuskan COVID-19 seperti sekatan pergerakan, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat di samping gangguan rantaian bekalan, projek itu berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.

 

Katanya, sehingga kini, jumlah trafik dan hasil sebenar adalah selaras dengan unjuran, malah projek berkenaan telah menjana aliran tunai operasi yang positif sejak tol dimulakan.

 

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan IJM India dan terima kasih atas dedikasi mereka sepanjang menyiapkan projek itu. Pencapaian dan penyiapan projek ini tepat pada masanya sekali gus mengesahkan keupayaan dan rekod prestasi kami sebagai pemaju pilihan dan syarikat konsesi berprestasi tinggi.

 

"Selain menyediakan keterlihatan pendapatan dan berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang, penyiapan tol Solapur-Bijapur memainkan peranan dalam mempercepatkan penambahbaikan infrastruktur di Maharashtra dan Karnataka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perasmian Lebuhraya Solapur-Bijapur disempurnakan Menteri Kesatuan Pengangkutan Jalan dan Lebuh Raya India, Shri Nitin Gadkari dalam satu majlis yang berlangsung di Solapur, Maharashtra.

 

Menghubungkan India selatan dan utara menerusi Solapur-Bijapur dengan laluan pintasan dan enam jejambat, lebuh raya bertol itu membolehkan lebih banyak kemudahan dengan memendekkan masa perjalanan, kos perjalanan dan peningkatan kualiti perjalanan untuk kenderaan komersial berkepadatan tinggi antara bandar utama India utama seperti Bangalore (Karnataka) dan Gwalior (Madhya Pradesh).

 

Sementara itu, Hau Seng berkata, penyiapan projek terkemuka di India dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan IJM India muncul sebagai pakar DBFOT unggul dan menetapkan standard bagi pembinaan jalan dalam sektor infrastruktur negara terbabit.

 

"Lebuh raya bertol yang cekap dan selesa adalah penting untuk melengkapkan mana-mana usaha kerajaan untuk menambah baik pembangunan infrastruktur negara," katanya.

 

IJM India kini mengendalikan tiga lebuh raya bertol di India iaitu Solapur-Bijapur sepanjang 110 kilometer, Chilkaluripet-Vijayawada (68 kilometer) dan Dewas Bypass sepanjang 19.8 kilometer.

 

Sejak 1998, IJM India melaksanakan beberapa projek jalan raya utama membabitkan laluan keseluruhan lebih 1,500 kilometer bersama-sama dengan projek rel bandar dengan jarak 20 kilometer serta pembangunan kediaman dan komersial utama berkeluasan 20.20 juta kaki persegi di India.

 

 

 

Berita Harian