(Imbas kembali) 5 kemalangan paling tragis di Malaysia pada tahun 2021

oleh SALINA JALIL|
Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti sebagai pembunuh utama di negara kita. Setiap hari ada saja laporan tentang kemalangan maut yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan, lebih-lebih lagi kenderaan dua roda iaitu motosikal. Tetapi senarai ini tidak termasuk kes kemalangan pemandu mabuk mahu pun dua roda!


Menurut satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30 orang pengguna jalan raya telah terkorban setiap hari.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Angka ini akan bertambah ketika musim-musim perayaan ketika jalan raya dan lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis kenderaan.

 

Dalam pada itu, ini sorotan lima kemalangan paling tragis sepanjang tahun 2021.

 

1. Kemalangan babitkan treler dan tiga kereta

 

Sepuluh individu termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan treler yang merempuh tiga kereta berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, 17 Disember 2021.

 

Sembilan daripada mangsa itu adalah satu keluarga iaitu seorang wanita dan lapan anaknya.

 

Mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50, yang cedera ringan.

 

Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.

 

Semasa kejadian keadaan permukaan jalan lebuh raya tiga lorong sehala menghala ke Shah Alam licin akibat hujan lebat.

 

Sebuah lori yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba gagal dikawal dan merempuh tiga kereta berkenaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan.

 

Pada masa sama lori berkenaan menyeret kereta Abdul Razak ke kanan lebuh raya sehingga menyebabkan sembilan ahli keluarganya dan Muhamad Rahimi maut ditempat kejadian.

 

Seorang mangsa yang cedera parah serta dua cedera ringan dihantar ke Hospital Shah Alam, untuk rawatan.

 

 

 

 

2. Ratusan cedera perlanggaran LRT

 

Ratusan penumpang cedera apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terbabit dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru, 24 Mei 2021.

 

Satu daripada tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit dalam perlanggaran bersama sebuah lagi tren LRT dipercayai membawa 213 penumpang.

 

Tren berkenaan bertembung di laluan Kelana Jaya di antara Stesen LRT Kampung Baru dengan Stesen LRT KLCC.

 

Kemalangan tersebut mencederakan 213 orang penumpang, termasuk 166 orang cedera ringan dan 47 orang cedera parah.

 

Rakyat Malaysia terkejut dengan 'kemalangan' ini kerana ia tidak sepatutnya berlaku dan bersyukur kerana ia tidak melibatkan nyawa tetapi trauma yang dialami mangsa akan kekal sehingga ke akhir hayat mereka.

 

 

3. Kru produksi filem maut

 

Empat kru produksi filem yang terbabit dalam kemalangan di Setiu, Terengganu, sehingga seorang daripadanya maut dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menjalani penggambaran dokumentari terbitan syarikat produksi milik pengarah, Aziz M Osman iaitu Ace Motion Pictures Sdn Bhd.

 

Kejadian yang berlaku pada 13 Oktober 2021, jam 1.15 tengah hari itu, pengarah serta penyunting, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang juga pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas.

 

 

4. Bas ekspres rempuh 10 kenderaan di Pulau Pinang

 

Bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Butterworth, Pulau Pinang ke Ipoh, Perak pada 13 Disember lalu.

 

Setibanya di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Perai, bas berkenaan hilang kawalan.

 

Insiden dianggarkan berlaku kira-kira jam 2.00 petang. Bas laju dalam keadaan terhuyung-hayang merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV)Toyota Vellfire di hadapannya dan 10 lagi kenderaan lain.

 

Dengan kelajuan tinggi, bas itu dilihat hilang kawalan dan turut melanggar bahagian penghadang jalan lebuh raya berkenaan.

 

Walaupun kemalangan terlihat tragis, syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

 

5. Tiga sahabat maut

 

Tiga sahabat maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, 27 September 2021.

 

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa maut termasuk R Vimalan, 21; A Sharven, 21; dan seorang lagi lelaki berusia 20-an.

 

Manakala mereka cedera dikenali sebagai S Meshen Kumar, 21, dan P Agilan, 22.

 

Kemalangan berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Taman Daya menuju ke Taman Setia Indah.

 

Kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok kediaman di Taman Daya 

 

 

Sebenarnya ada banyak lagi kemalangan-kemalangan tragis yang berlaku di negara kita, ramai yang kehilangan nyawa, keluarga, mak ayah, adik beranak, anak saudara, jiran-jiran dan rakan-rakan.

 

Setiap kali anda di belakang stereng beringatlah, adakah anda akan menjadi penyebab kemalangan atau mangsa kemalangan, sekiranya kemalangan berpunca dari anda sehingga menyebabkan kemalangan maut, anda sepatutnya dilabelkan sebagai pembunuh, Jadi beringatlah, supaya anda tidak menyesal kemudian hari.

 

Selamat datang 2022, semoga kita tidak 'terkorban' di jalan raya.

 

 

Sinar