Individu pandu Axia dengan lebih muatan telah dikenal pasti

oleh Firdaus Razani|
Lelaki yang tular memandu Perodua Axia dengan membawa muatan melebihi secara berbahaya di Jalan Dengkil-Banting, di sini, sudah berjaya dikesan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook (FB) pada 10 pagi, semalam.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Katanya, susulan itu, pihaknya mengesan kenderaan berkenaan sebelum menemuinya di Jalan Dengkil-Banting, kira-kira sejam kemudian pada hari sama.

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan yang juga warga tempatan berusia 59 tahun mempunyai lesen memandu yang sah manakala kenderaan terbabit juga mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

"Siasatan turut mendapati pemandu berkenaan pernah terbabit kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu hingga menyebabkan dia mengalami masalah di bahagian kepala. Alasan diberikan (dia) tidak berapa sihat (berhubung kejadian)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, lelaki berkenaan sudah dijamin oleh keluarganya dan kereta berkenaan ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Polis juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti atau kelakuan yang membahayakan pengguna jalan raya melalui saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Semalam, video memaparkan Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki membawa pelbagai muatan berlebihan seperti sampah, bakul, rangka katil dan beberapa barang lain yang turut diikat di bahagian bumbung kereta tular di media sosial.

Perkongsian video netizen juga menunjukkan ada sebahagian muatan yang dibawa kenderaan itu terjatuh di jalan raya dan ia mengganggu laluan sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.

 

SUMBER : HarianMetro