Indonesia bakal larang kenderaan mewah beli bahan api bersubsidi Pertalite

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: VOI ID
Kerajaan Indonesia sedang bekerjasama dengan syarikat petroleum PT Pertamina untuk merumuskan peraturan bagi melarang pembelian bahan api bersubsidi Pertalite (RON90) kepada kenderaan mewah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut laporan daripada CNBC Indonesia, pihak berkuasa sedang meneliti Peraturan Presiden Nomor 191 tahun 2014 berkenaan Penyediaan, Pendistribusian dan Harga Jualan Eceran Bahan Bakar Minyak (BBM), agar penjualan bahan api bersubsidi seperti Pertalite dapat disasarkan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Ini bermakna, tidak lama lagi pemilik kenderaan mewah tidak lagi dibenarkan untuk membeli bahan bakar Pertalite yang lebih murah, sebaliknya hanya dibenarkan untuk membeli bahan api Pertamax (RON92) sahaja.

Menurut anggota jawatankuasa BHH Migas (Badan Pengatur Hilir Minyak dan Gas Bumi), Saleh Abdurrahman menjelaskan, sejak bahan bakar Pertalite dikategorikan sebagai Jenis BBM Khusus Penugasan (JBKP), jualan Pertalite sudah ditetapkan sebanyak 23 bilion liter untuk tahun ini.

Jelasnya, selain daripada kuota, harga jualan Pertalite juga masih lagi dikawal oleh pihak berkuasa, dan disebabkan itu ia mempunyai jurang harga yang sangat besar.

"Jadi, lebih logik kalau kenderaan mewah menggunakan bahan bakar bukan bersubdisi yang lebih bersih dan mesra alam," ujarnya kepada CNBC Indonesia.

Di Indonesia, terdapat tiga pengkelasan bahan api yang ditentukan, iaitu Jenis BBM Tertentu (JBT) di mana harga jualan ditetapkan oleh pemerintah dan diberikan subsidi seperti diesel dan minyak tanah, Jenis BBM Khusus Penugasan (JBKP) seperti Pertalite, dan Jenis BBM Umum (JBU) seperti Pertamax.

Sebagai makluman, harga jualan bagi bahan api Pertalite (RON90) adalah sekitar Rp 7,650 per liter (RM2.33 per liter), sementara bahan api Pertamax (RON92) pula adalah setinggi Rp 12,500 per liter (RM3.80 per liter).

Harga yang ditawarkan oleh Pertamina sebenarnya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan bahan api yang dijual oleh Shell, dimana Shell Super (RON92) berharga Rp 17,500 per liter (RM5.32 liter) manakala Shell V-Power (RON95) berharga Rp 18,500 per liter (RM5.63 per liter).

Sebagai perbandingan, harga jualan RON95 di Malaysia (setakat 2-8 Jun 2022) adalah sekitar RM2.05 per liter, sementara RON97 pula setinggi RM4.70 per liter.

Sumber: CNBC Indonesia

Berita Berkenaan

Berita Global
Budi Karya berkata, kemudahan proving ground tersebut akan dibina di Pusat Ujian Kelayakan Jalan…
Berita Global
Timbalan Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan di Kementerian Koordinator Hal Ehwal Maritim dan…
Pelancaran Motosikal
Sedikit berbeza dengan model Alva One yang terdahulu, versi kemas kini terbaharu ini tampil dengan…