Menurut laporan terbaharu, Ineos juga sedang merancang untuk menguji Grenadier yang dilengkapi dengan sistem trenkuasa sel bahan api hidrogen untuk kegunaan jalan raya dan off-road menjelang akhir tahun 2022.
Apa yang menarik, Grenadier Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) Concept ini bakal menggunakan kepakaran daripada Hyundai menerusi perjanjian kerjasama yang termeterai pada November 2020.
Harus diketahui bahawa Ineos sebenarnya merupakan salah sebuah syarikat kimia terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran 300,000 tan hidrogen setahun yang merupakan produk sampingan daripada proses pembuatan bahan kimia yang lain.

Ineos juga turut mempunyai syarikat subsidiari Inovyn yang memiliki kepakaran dalam proses elektrolisis untuk menghasilkan hidrogen bagi tujuan penjanaan kuasa dan pengangkutan.
Selain memfokuskan kepada penghasilan hidrogen hijau - gas hidrogen yang diperoleh daripada proses elektrolisis, Ineos juga turut melabur dalam produksi hidrogen biru di mana gas CO2 yang terhasil menerusi proses pengasingan hidrogen daripada gas asli akan di'tangkap' dan disimpan di bawah tanah.
Pengerusi Ineos Jim Ratchliffe turut memberikan amaran kepada kerajaan UK untuk memulakan pembangunan infrastruktur hidrogen dengan lebih meluas, memandangkan pada ketika ini negara tersebut agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Eropah yang lain.