Ini kisah Fabio Quartararo dari Moto3 hingga juara MotoGP 2021!

oleh Muhammad Md Tajudin|
 Fabio Quartararo
Fabio Quartararo
Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo dinobatkan sebagai juara MotoGP 2021 dengan baki perlumbaan tinggal dua pusingan.

Kemenangan beliau bukan mudah pada era dominasi Marc Marquez dan Honda serta pelumba handalan lain yang sentiasa mencabar.

Keupayaan Fabio Quartararo sebenarnya dikesan sejak kali pertama menyertai Moto3 pada musim 2015 dan akhirnya menjadi juara MotoGP pada musim ini.

Bagaimana Fabio Quartararo bermula? Berikut adalah kisah beliau sehingga berjaya menjadi juara MotoGP 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
 Fabio Quartararo

Moto3 pada usia 15 tahun

Fabio Quartararo atau nama gelarannya El Diablo memulakan saingan di dalam Moto3 musim 2015 pada usia 15 tahun.

Pada masa itu syarat umur 16 tahun dihapuskan dan beliau melangkah ke Moto3 dengan berbekalkan juara Moto3 FIM CEV untuk dua musim 2013 dan 2014.

Sejak dari awal lagi beliau dilihat sebagai pencabar kejuaraan dan kecemerlangannya terserlah apabila menjadi naib juara pada pusingan kedua di Circuit of The Americas (COTA).

Beliau sekali lagi berada di tempat kedua di Assen namun keupayaannya tersekat akibat kecederaan buku lali dan musim 2015 tamat dengan kedudukan kesepuluh.

Pada musim berikutnya beliau menduduki tempat ke-13 dan menaiki kelas Moto2 pada musim 2017.

Moto2, kelas penting sebelum ke MotoGP

Pada musim pertama Moto2, Fabio Quartararo sekadar menduduki tempat ke-13 dan musim seterusnya menyaksikan bakat beliau menyinar kembali.

Beliau menjuarai pusingan di Catalunya dan berjaya menjulang trofi di tempat kedua di Assen. 

Di sebalik persembahan cemerlang itu, Moto2 bukan pentas beliau dan menduduki tempat kesepuluh pada musim 2018 dengan 138 mata.

Prestasi tersebut bukan penamat dan langit terbuka cerah untuk Fabio Quartararo. 

Pada Ogos 2018 beliau dan Franco Morbidelli diumumkan sebagai pelumba pasukan satelit baharu Yamaha, tidak lain tidak bukan Petronas Yamaha SRT bermula musim 2019.

 

 Fabio Quartararo

 

Bersinar di musim pertama MotoGP

Fabio Quartararo melangkah ke MotoGP tanpa sebarang kejuaraan Moto3 dan Moto2 dan mengundang keraguan tentang keupayannya di dalam kelas perdana itu.

Beliau berjaya memadamkan keraguan dan memanfaatkan kepercayaan serta peluang yang diberi.

El Diablo menang tujuh podium dengan lima kali naib juara dan dua kali tempat ketiga. Beliau juga enam kali menduduki petak utama (pole).

Kemuncak musim 2019 menyaksikan beliau memenangi Rookie of the Year dan tempat kelima dengan 192 mata keseluruhan.

Ini adalah prestasi terbaik El Diablo sejak Moto3.

 

 Fabio Quartararo

 

Berada di musim 2020, El Diablo bermula dengan baik apabila menjadi juara untuk dua perlumbaan berturut-turut di Jerez.

Beliau sekali lagi menjadi juara di Catalunya pada pusingan kelapan. Prestasi naik turun El Diablo datang kembali dan beliau menamatkan musim 2020 di tempat kelapan dengan 127 mata.

Di sebalik prestasi tersebut, El Diablo bermula di hadapan pada sembilan pusingan dengan empat daripadanya di petak utama.

MotoGP 2021 - Tahun juara!

Fabio Quartararo sememangnya pelumba bertuah, pada musim 2021 beliau menyarung sut untuk pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP.

Rekod beliau memang sudah diketahui dan harapan padanya memang tinggi. 

Beliau berada di tempat kelima pada pusingan pertama di Qatar. Keputusan tersebut sudah memuaskan pasukan tetapi tidak untuk beliau.

 

 Fabio Quartararo

 

Pusingan seterusnya di litar sama beliau menghadiahkan podium tempat pertama untuk diri dan pasukan. 

Fabio Quartararo sekali lagi menunjukkan prestasi terbaik dengan menjadi juara di Portugal.

Di Jerez, harapan beliau untuk menang kelihatan cerah namun terpaksa memperlahankan rentak selepas mengalami masalah arm pump (Chronic Exertional Compartment Syndrome/CECS).

Beliau bertahan dan berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ke-13 dan paling rendah dalam musim 2021.

Pembedahan dijalankan dan beliau kembali menyerlah dengan menduduki tempat ketiga di Le Mans. Keputusan itu digapai hanya seminggu selepas berada di bilik pembedahan.

Pusingan berikut berlangsung di Itali yang juga home race dan Mugello bukan litar terbaik untuk pasukan pengeluar Yamaha.

 

Fabio Quartararo

 

Fabio Quartararo membuktikan sebaliknya dan menunggang Yamaha YZR-M1 dengan cemerlang dan menjuarai perlumbaan.

Di Catalunya, beliau mempamerkan aksi konsisten dengan menduduki tempat ketiga namun diturunkan ke tempat keenam selepas menerima dua penalti tiga saat.

Sekali lagi, litar Sachsenring juga bukan medan terbaik untuk motosikal Yamaha. Itu tidak menjadi masalah apabila beliau meraih tempat ketiga.

Di litar Assen, beliau dan jentera melonjak cemerlang untuk menjadi juara dan menghabiskan separuh pertama musim 2021 dengan baik.

Lebih manis apabila rakan sepasukan Maverick Viñales menduduki tempat kedua dan menghadiahkan kemenangan 1-2 pertama buat pasukan sejak perlumbaan di Argentina pada 2017.

Kemenangan itu juga kali ke-750 dan podium ke-751 buat Yamaha dalam kelas perdana.

 

 Fabio Quartararo

 

Selepas berehat selama empat minggu, perlumbaan bersambung di Styria dan beliau berjaya di tempat ketiga.

Bermula dari situ, Fabio Quartararo selesa di depan kejuaraan dengan kelebihan 40 mata.

Pusingan berikutnya di Austria tidak berapa menjadi dan beliau menebusnya dengan menjuarai pusingan di Silverstone.

Dengan kejayaan itu beliau mengumpul 65 mata di depan kejuaraan.

Di Aragon, beliau gagal untuk menduduki podium dan berada di tempat kelapan. Di Misano pula lain cerita dan beliau memenangi tempat kedua dan memperoleh 20 mata penting.

Stratergi kejuaraan perlu betul dan beliau sekali lagi berada di podium tempat kedua di COTA dan mengumpul mata yang sangat berharga.

 

Fabio Quartararo

 

Tekanan untuk muncul juara memuncak di pusingan ke-16 di Misano, terus menang di sini atau perlu mengejar lagi.

Beliau bermula di petak ke-15 manakala pesaing terdekat di petak utama dan pasti mendebarkan.

Adat perlumbaan, pusingan itu tidak menjadi buat Francesco Bagnaia apabila beliau terjatuh seterusnya kejuaraan dalam genggaman El Diablo.

Sejarah tercipta dan Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dan sudah cukup untuk dinobatkan sebagai juara MotoGP 2021!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

MotorGP
Acara meet & greet tersebut dihadiri oleh juara dunia MotoGP tahun 2021, Fabio Quartararo dan…
MotorGP
Pelumba Itali berusia 25 tahun itu, yang memulakan saingan di petak ketiga, dipintas oleh pelumba…
MotorGP
Beliau muncul sebagai pelumba kedua Perancis yang memenangi kelas premier sejak rakan senegara…