Ini kisah kembara Stirling Moss dengan Suzuki 360cc pada 1968

oleh Muhammad Md Tajudin|
2020 adalah ulang tahun ke-100 selepas Michio Suzuki memulakan perniagaan pengeluaran mesin tenunan kain pada Mac 1920.

Perniagaan tersebut bagaimanapun mengalami kemelesetan selepas permintaan dunia untuk kain kapas menurun pada awal 50an.

Di sebalik turun naik perniagaan, Suzuki seawal tahun 1937 telah memulakan program pembangunan kereta pertama namun terpaksa membatalkannya selepas Perang Dunia Kedua tercetus.

Suzuki kemudian kembali menghidupkan projek kereta dan model pertama iaitu Suzulight diperkenalkan pada 1955.

Selang beberapa tahun, kereta keluaran Suzuki mendapat sambutan hangat dan dari 200 unit setahun melonjak kepada 5,824 unit pada tahun fiskal 1960.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Suzulight - kereta pertama Suzuki

Pada Mac 1963, model baharu diperkenalkan dan diberi nama Suzulight Fronte FEA. Sebaik sahaja selepas dilancarkan, Fronte di bawa ke Grand Prix Jepun di Suzuka.

Fronte digunakan untuk perlumbaan dan menariknya memenangi tempat pertama, kedua dan keempat dalam kategori mini.

Ia juga membuktikan keupayaan teknologi baharu Suzuki iaitu sistem pemisahan pelinciran yang dipanggil SELMIX.

Pada 12 Ogos 1968, model baharu Fronte SS digunakan untuk menyertai Autostrada del Sol dalam menguji prestasinya.

Suzulight TL

Jelajah itu melibatkan pelumba terkenal dunia Stirling Moss dan seorang lagi pelumba handalan Mitsuo Ito.

Beliau adalah penunggang Suzuki yang menjuarai perlumbaan Isle of Man TT kelas 50cc pada 1963 dan penunggang Jepun pertama yang menang TT.  

Jarak Autostrada del Sol merangkumi 743.5 kilometer dari Milan ke Naples dan tiada had kelajuan dikenakan kecuali di selekoh atau di dalam terowong.

Stirling Moss dan Mitsuo Ito berjaya tiba di transit pertama mereka di Rome dengan jarak 544 kilometer. 

Pencapaian kereta kecil Suzuki dengan masa 4 jam 27 minit dan kelajuan purata 124 km/j cepat menjadi berita global.

Suzuki Fronte FEA 1963

Mereka kemudian mula memandu ke Naples dengan kelajuan purata 120 km/j. Apa yang menarik ialah Fronte SS hanya bernadikan enjin 360cc dengan kuasa 25PS dan berat kering 420 kilogram.

Berbeza dengan Suzulight yang merupakan model pertama Suzuki, Fronte SS 360 menggunakan pendekatan baharu dan berbeza.

Bentangan enjin dan roda menggunakan format enjin belakang pacuan belakang (RR) buat pertama kali manakala gaya badan pula jenis membujur.

Bahagian dalam cukup untuk memuatkan empat penumpang selari dengan pertambahan permintaan untuk keluarga.

Suzuki Fronte 360 1968

65 tahun sejak pelancaran model pertama, Suzuki kekal dikenali di peringkat global sebagai pakar kereta kecil dengan jumlah pengeluaran sebanyak tiga juta unit setahun.

Idea asal Michio Suzuki yang mengeluarkan kereta dengan berat ringan kekal diwarisi sehingga kini dan boleh dilihat pada Ignis dan Swift. 

65 tahun dahulu Suzuki mengeluarkan kereta tidak sampai 500 kg dan model terbaru Swift Sport Hybrid hanya bertambah kepada 1,025 kg sahaja!

Penulis: Muhammad Md Tajudin