Ini prototaip Ducati MotoE, tanpa V4 atau V2, guna kuasa elektrik!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ducati MotoE
Ducati MotoE
Musim 2023 perlumbaan FIM MotoE™ World Cup bakal menyaksikan Ducati membekalkan 18 buah motosikal untuk digunakan para pelumba.

Ducati sekarang ini giat membangunkan motosikal lumba elektrik dan prototaip telah siap dan Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali turut mengujinya di litar lumba.

Bagi menghasilkan prototaip MotoE, para pereka Ducati dan Ducati Corse telah bekerjasama dan penghasilan motosikal ini dibuat mengikut prosedur sama untuk motosikal produksi.

Bahagian penyelidikan dan pembangunan, Ducati R&D bertanggungjawab dalam pengurusan projek termasuk rekaan dan simulasi rangkaian kuasa elektrik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Ducati MotoE

 

Reka bentuk MotoE pula dibuat oleh pusat gayaan Centro Stile Ducati termasuk rekaan grafik motosikal.

Bahagian permotoran Ducati Corse terlibat dalam reka bentuk komponen elektronik, perisian kawalan dan strategi, simulasi dinamika dan aerodinamik.

Ducati Corse juga terlibat dalam pemasangan motosikal, pengujian dan proses pengambilan data.

Hasil usahasama tersebut boleh dilihat pada Ducati MotoE yang berkuasa 110 kW (150 hp) dan daya kilas 140 Nm.

Berapa kelajuan yang dicapai? 275 km/j di litar seperti Mugello, Itali.

Ducati MotoE

Berat keseluruhan motosikal ini 225 kg atau 12 kg kurang daripada syarat minimum oleh Dorna dan FIM.

Satu aspek penting dalam kenderaan elektrik ialah bateri. Bentuk pek bateri Ducati MotoE dibuat mengikut bahagian tengah motosikal dan mempunyai berat 110 kg.

Di dalamnya ada 1,152 sel bentuk silinder jenis 21700. Kapasiti bateri ialah 18 kWj dengan soket pengecasan dipasang pada bahagian ekor motosikal.

Penyongsang atau inverter pula hanya seberat 5 kg dan diambil dari model berprestasi tinggi untuk perlumbaan.

Motor elektrik MotoE mempunyai berat 21 kg dengan putaran maksimum 18,000 rpm dan dibangunkan oleh rakan projek mengikut spesifikasi teknikal yang disediakan Ducati.

Ducati MotoE

Keseluruhan sistem berasaskan voltan 800V (dengan pek bateri cas penuh) bagi memaksimumkan output rangkaian kuasa elektrik, prestasi dan jarak tunggangan.

Satu lagi aspek penting ialah sistem penyejukan untuk perkakasan elektrik.

Komponen motosikal ini disejukkan sistem cecair canggih dan cekap dengan dua litar (saluran) bagi memenuhi keperluan haba berbeza di antara pek bateri dan unit motor/penyongsang.

Hasilnya boleh dilihat pada prestasi yang konsisten dan juga tempoh pengecasan.

Untuk mengecas, tidak pula tunggu pek bateri sejuk dan soket boleh disambung sebaik sahaja motosikal masuk ke garaj perlumbaan.

Tempoh pengecasan sehingga 80 peratus kapasiti memerlukan sekitar 45 minit.

Ducati MotoE

Pada bahagian casis, Ducati MotoE menggunakan rangka depan monocoque aluminum dengan berat 3.7 kg.

Lengan ayun juga dari aluminium dengan berat 4.8 kg dan geometri seperti motosikal lumba Ducati Desmosedici MotoGP. 

Subrangka belakang diperbuat daripada gentian karbon dan disekalikan bersama ekor dan tempat duduk.

Suspensi depan dari Öhlins NPX 25/30 dengan diameter tiub 43 mm yang diambil dari Superleggera V4 dan peredam stereng juga dari Öhlins.

Bahagian belakang diuruskan penyerap hentak Öhlins TTX36.

 

Ducati MotoE

 

Sistem pembrekan dibekalkan oleh Brembo dengan ukuran khas mengikut keperluan Ducati MotoE.

Cakera besi depan berukuran 338.5 mm dan lebih tebal dan di dalamnya ada sirip untuk menguruskan haba dan mempertingkatkan penyejukan cakera.

Dua tuil brek GP4RR M4 32/36 diguna untuk depan dengan silinder utama (master cylinder) PR19/18.

Di belakang pula cakera tunggal saiz 220 mm dengan ketebalan 5 mm dan memainkan peranan bersama silinder PS13.

Satu aspek menarik tentang pembangunan motosikal ini ialah Ducati turut berhubung dengan pakar Pusat Kecemerlangan Kumpulan Volkswagen di Saltzgitter, Jerman dan juga Porsche dan Lamborghini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Ducati MotoE

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Sebagai makluman, pengeluar motosikal itu merupakan pembekal tunggal motosikal bagi kejuaraan FIM…