Benar, Honda bakal menghentikan operasi pengilangan di United Kingdom dan suatu yang mengejutkan apabila kilang di Turki turut terlibat.
Alasannya ialah Honda mahu menstrukturkan semula rangkaian pengilangan global.
Penstrukturan tersebut dibuat dalam masa Honda menggiatkan komitmen dalam kereta elektrifikasi (elektrik, PHEV dan lain-lain) yang juga sebagai respon kepada industri automotif global.
Cabaran besar dalam elektrifikasi bakal menyaksikan Honda merombak semula operasi pengilangan global dan menumpukan aktiviti syarikat di rantau yang mana mereka jangka akan mempunyai jumlah pengeluaran tinggi.
Oleh itu, Honda UK Manufacturing Ltd. pada 19 Februari telah mengumumkan kepada para pekerja mengenai rancangan untuk menutup kilang pengeluaran kenderaan di Swindon pada tahun 2021.
Tahun 2021 merupakan tempoh terakhir kitaran penawaran Honda Civic Hatchback.
Kilang di Swindon sekarang ini mengeluarkan 150,000 kereta setahun dengan jumlah pekerja sebanyak 3,500 orang.
Aktitivi perundingan bersama pekerja yang bakal terjejas juga dimulakan pada hari pengumuman ini dibuat.
Penstrukturan global ini turut melibatkan operasi kenderaan Honda di Turki.
Honda Turkiye A.S sekarang ini mengeluarkan 38,000 unit kenderaan dan syarikat akan menghentikan pengeluaran Civic sedan pada tahun 2021. Turki adalah pusat pengeluaran Civic sedan untuk pasaran Eropah.
Walaupun operasi pengilangan dihentikan, Honda berhasrat untuk meneruskan lagi operasi bisnes di sana.
Honda Turkiye A.S. akan terus mengadakan dialog konstruktif bersama dengan pemegang taruh di Turki dalam tempoh ini.
Honda akan terus menjadikan UK sebagai ibu pejabat operasi untuk benua Eropah dan fokus kepada memenuhi keperluan pelanggan di sana.
Ternyata ini keputusan yang sukar kerana Honda telah lama beroperasi di kedua-dua negara tersebut lebih lagi di UK.
Terima kasih Swindon untuk Honda Civic Type R Made in UK!
Berikut ialah butiran ringkas mengenai operasi Honda di UK dan Turki:
Honda of The U.K. Manufacturing Ltd.
Tahun penubuhan | : | Februari 1985 |
Lokasi | : | Swindon, Wiltshire, UK |
Modal | : | £670 juta |
Nisbah modal | : | 13.7% Honda Motor Co., Ltd., 86.3% Honda Motor Europe Ltd. |
Wakil | : | Jun Nishimoto, Pengarah Urusan |
Perniagaan | : | Pengilangan kenderaan dan enjin |
Pekerja | : | Sekitar 3,500 |
Mula produksi | : | 1989 (enjin), 1992 (kenderaan) |
Model keluaran | : | Civic Hatchback, Civic Type R |
Honda Turkiye A. S.
Tahun penubuhan | : | April 1992 |
Lokasi | : | Kocaeli, Turki |
Modal | : | 280 juta TRY |
Nisbah modal | : | 100% Honda Motor Europe Ltd. |
Wakil | : | Takuya Tsumura, Presiden |
Perniagaan | : | Pengilangan dan jualan kenderaan, penjualan motosikal |
Pekerja | : | Sekitar 1,100 |
Mula produksi | : | 1997(kenderaan) |
Model keluaran | : | Civic Sedan |
Penulis: Muhammad Md Tajudin