Insiden feri penumpang terkandas, bot penyelamat hadapi kesukaran enjin tersekat, air cetek dan berlumpur

oleh Penyumbang Rencana|
Sebuah feri yang membawa lebih 500 penumpang dan kru dalam perjalanan dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi ke Terminal Jeti Kuala Kedah terkandas apabila ia tersangkut di beting lumpur, dipercayai akibat air laut surut yang berlaku di alur pelayaran Kuala Kedah.


Feri yang memuatkan seramai 547 penumpang itu terkandas di kedudukan 1.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah dengan laporan diterima daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) pada pukul 4.15 petang Ahad.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Operasi memindahkan penumpang feri Express Bahagia 98 yang terkandas di perairan Kuala Kedah menghadapi kesukaran apabila enjin bot pasukan penyelamat beberapa kali tersekat akibat air laut cetek dan berlumpur.


Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi dikendalikan Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi itu bagaimanapun selesai dan ditamatkan pada pukul 10 malam Ahad.


Dalam satu kenyatan, beliau memaklumkan bahawa feri tersebut telah berjaya dibawa merapat ke Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 9.25 malam Ahad dengan menggunakan bot tunda milik salah sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah.


Seramai 272 penumpang berjaya dibawa keluar secara berperingkat oleh bot Perkasa 1224 APMM, bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan daripada beberapa bot nelayan tempatan sekitar Kuala Kedah dan Yan.


Terdapat beberapa penumpang yang mengalami simptom sesak nafas dan telah diberikan rawatan perubatan daripada petugas kesihatan setibanya di jeti.


Antara agensi dan jabatan yang terlibat bagi urusan pemindahan penumpang ialah JLM, PDRM Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta bomba.


Pengendali feri penumpang diingatkan agar lebih berwaspada serta meningkatkan tahap pengetahuan tentang pasang surut air laut dalam mengendalikan feri pada masa akan datang.


Sekiranya terjadi insiden kecemasan, pengendali feri dinasihatkan melaporkan terus kepada APMM melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 agar bantuan segera dapat diberikan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Feri Pulau Pinang adalah sesuatu yang nostalgia. Jadi rakyat Pulau Pinang cukup bertuah disediakan…
Informasi
  "Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membiayai tambang perkhidmatan feri (bot penumpang laju…
Berita Domestik
  "Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira rungutan penumpang yang berulang-alik dari tanah…