Tahukah anda, Jepun sebenarnya sudah pun mempunyai 'Litar Nurburgring' tersendiri sebelum Toyota berhasrat untuk membangunkan litar ujian 'Nurburgring Jepun' mereka?
Hakone Turnpike (atau Mazda Turnpike) merupakan salah sebuah litar jalanan yang popular dan menjadi destinasi impian bagi mereka yang kaki kereta, dan juga pengikut siri Initial D.
Ia sebenarnya merupakan tanah persendirian, dan anda perlu membayar tol berjumlah ¥720 (kira-kira RM27) untuk memasuki Hakone Turnpike.
Ia merupakan antara litar kegemaran para pengamal media untuk menguji kenderaan-kenderaan baharu dan jentera berprestasi tinggi kerana sifatnya yang seakan-akan Litar Nurburgring yang terletak jauh di Jerman dan diiktiraf sebagai salah sebuah jalan pemanduan yang terbaik di dunia.
Bersempena dengan nama Hakone Turnpike itu, Toyota memperkenalkan sebuah lagi model 86 yang digelar sebagai 86 Hakone Edition - dan warna kegemaran penulis iaitu Hakone Green.
Sama seperti penawaran Toyota 86 yang lain, model edisi Hakone ini masih mengekalkan nadi enjin boxer empat silinder 4U-GSE 2.0 liter (205 hp/211 Nm) yang dipadankan dengan transmisi manual atau automatik, kedua-duanya datang dengan enam nisbah kelajuan.
Cuma sayangnya, Toyota 86 Hakone Edition ini tidak dijual di Jepun, atau mana-mana negara Asia.
Sebaliknya, ia hanya ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat sahaja.