Pembukaan Is Tayar Maju Sdn Bhd yang dimiliki oleh Ismail bin Ahmad, 52, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman, pembukaan pusat servis itu selari dengan objektif MARA untuk membangunkan komuniti usahawan automotif yang dinamik dan kompeten.
PUMP yang berkolaborasi bersama PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMMSB) itu dilengkapi dengan modul latihan berstruktur yang komprehensif bagi membantu usahawan.
Program itu seterusnya membantu usahawan untuk melaksanakan proses pengubahsuaian premis bagi mewujudkan outlet di bawah jenama tersebut.
Selain daripada latihan dan pengubahsuaian, usahawan yang terpilih turut akan menerima khidmat nasihat serta dibantu dengan kemudahan pembiayaan perniagaan, proses pengubahsuaian juga kebiasaannya mengambil masa selama 3 bulan.
Sehingga kini, sebanyak 20 outlet PUMP telah dibangunkan melibatkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM10.3 juta, dimana sahawan di bawah program itu telah mencapai nilai jualan sebanyak RM15.85 juta.
Dato’ Zulfikri Osman berkata, “Sejak tahun 2021, MARA aktif memperkasa jenama perniagaan program PUMP dalam meningkatkan imej dan menepati piawaian industri, seterusnya memperkukuhkan jenama program supaya ianya dilihat setara atau lebih baik daripada pesaing di pasaran.”
“Peningkatan imej ini untuk penampilan imej pusat servis lebih segar, dinamik dan berani serta mampu menarik lebih ramai pelanggan berkunjung dengan rekaan luaran dan dalaman yang ceria, selesa dan bengkel penyelenggaraan dilengkapi kelengkapan moden,”
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh ahli Pengurusan dan Subsidiari MARA, wakil PETRONAS, pemain industri dan usahawan dalam industri automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif PLMMSB, Mohd Zameer B Mohd Zahur Hussain turut berkata, “Pihak PETRONAS amat berbesar hati kerana dapat meneruskan kerjasama dengan MARA demi memperkasakan ekonomi para usahawan di Malaysia."
"Kami akan memberi sokongan penuh kepada seluruh jaringan PETRONAS AutoExpert terutama dari segi kemahiran teknikal, latihan, peralatan dan pemasaran, agar semua pengusaha PUMP mendapat nilai mampan.”