Walaupun perlu melalui sistem imigresen Thailand yang masih lapuk dan jumlah kemalangan yang meningkat, rakyat Malaysia saban hari berpusu-pusu masuk ke negara itu.
Kita sepatutnya menarik pelancong dari sana pula untuk melawat ke Malaysia dan dengan infrastruktur yang lebih moden serta tahap keselamatan yang tinggi, tidak ada sebab mengapa Malaysia tidak mampu menarik pelancong dari sana.
Antara golongan sasaran paling mudah ialah pelancong bermotosikal Thailand.
Jumlah jualan motosikal besar di sana semakin memingkat dan terus mengalahkan industri automotif kita sendiri yang sudah lama matang tetapi gagal untuk berkembang.
Menjadi kelaziman, penunggang motosikal gemar menunggang jauh dan sekiranya mereka datang ke Malaysia, ia membuka peluang yang lebih besar kepada rakyat tempatan untuk membabitkan diri dalam industri pelancongan.
Sayang sekali, isu remeh seperti kecurian komponen brek motosikal masih tidak ada jalan penyelesaiannya dan ia akan menjadi satu alasan untuk pelancong asing dari datang ke Malaysia.
Mungkin ada yang berkata negara tidak memerlukan pelancong bermotosikal. Itu adalah satu kenyataan yang dengkel kerana kos pemilikan superbike di Thailand adalah tinggi dan pemilik adalah mereka yang mempunyai sumber kewangan yang mantap.
Bodoh untuk kita menolak kehadiran mereka di sini.
Kes-kes kecurian komponen brek superbike sudah berlarutan sejak bertahun lamanya. Malah pencuri dengan berani meletakkan iklan di media sosial, seperti langsung tidak ada perasaan takut.
Saya sendiri sudah banyak kali melihat bagaimana kumpulan motosikal yang menjadi mangsa turun ke padang, menyamar menjadi pembeli untuk menangkap pencuri-pencuri itu.
Ini sebenarnya satu tindakan yang salah kerana undang-undang kita tidak membenarkan tangkapan dilakukan selain dari pihak berkuasa.
Tetapi sekiranya kes demi kes tinggal senyap sunyi tanpa penyelesaian dan kos menggantikan komponen itu yang memakan belanja ribuan RM, pastinya akan semakin ramai bakal mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Saya sangat berharap agar pihak Polis DiRaja Malaysia mengambil inisiatif seperti membuka mata dan "menggegarkan" penjualan komponen curi ini agar tidak ada lagi pasaran.
Tanpa ada pasaran, tidak akan ada permintaan dan kes pencurian akan menurun secara automatik.
Di samping itu, selain dari memastikan motosikal diparkir di kawasan yang selamat, pemilik superbike disarankan memasang skru pengunci agar menyukarkan kerja pencurian komponen brek tersebut.
Selain dari itu, mengukir nombor motosikal pada komponen itu juga adalah satu tindakan yang bagus.
Antara alat yang boleh digunakan ialah alat Dremel Engraver yang ada dijual di kedai-kedai hardware (gambar di bawah). Saya pasti kedai Encik DIY turut menjual item yang sama dengan jenama lain.
Saya terus terang berharap agar isu ini diambil berat kerana ia adalah satu isu remeh yang sepatutnya sudah lama diselesaikan.