Isuzu D-Max 2020 - generasi ketiga trak pikap yang lebih moden

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di Thailand di mana ia bakal dilahirkan, Isuzu telah pun selesai melancarkan trak pikap generasi ketiga Isuzu D-Max malam tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Trak pikap Isuzu D-Max baharu ini jauh lebih kemas, lebih agresif dan lebih moden dari segenap sudut berbanding trak pikap sedia ada yang masih dijual.

Disebalik penampilan yang serba baharu itu, Isuzu telah menambah baik casis dengan penggunaan keluli bertegangan tinggi 980 MPa, menjadikan ia lebih tegap dan tegar, akan tetapi 20 peratus lebih ringan berbanding trak pikap terdahulu. 
 


Pihak Isuzu telah mendatangkan kemasan gril yang lebih besar, selain menampilkan lampu nyalaan siang LED berbentuk U (berbanding L) serta rekaan bumper hadapan yang lebih agresif. 

Lampu utama kini menggunakan unit jenis Bi-LED manakala di bahagian belakang pula tampil dengan unit LED berkembar yang lebih stailo.

 


Ruang dalaman juga tampil dengan kemasan dan rekaan papan pemuka baharu yang lebih moden serta penggunaan bahan yang lebih mahal dan sporty. 

Skrin sentuh yang tersergam megah di tengah membawakan saiz 9 inci dan dilengkapi dengan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta kekunci ala piano menghiasi bahagian bawah skrin tersebut. 

Untuk pemandu, rekaan kluster meter juga kini dihiasi dengan skrin digital bersaiz 4.2 inci. 

Reka bentuk kerusi telah direka semula bagi mengurangkan kecederaan whiplash serta memberikan keselesaan yang lebih kepada pemandu dan juga penumpang. 
 


Bagi mereka yang masih mahukan sebuah kuda kerja yang benar-benar tahan lasak, Isuzu menawarkan trim dalaman serta panel pintu yang lebih ringkas dengan penggunaan bahan yang lebih asas. 

Keupayaan off-road pada Isuzu D-Max kini ditambah baik prestasinya dengan penggunaan aci pemacu aluminium, dan differential lock belakang elektromagnet bagi mengurangkan masa penukaran antara pacuan dua dan empar roda, serta mod High dan Low. 

Malah, Isuzu D-Max juga kini jauh lebih sedap dipandu, terima kasi kepada talaan sistem suspensi, brek dan radius putaran stereng memberikan lebih kestabilan dan keselesaan pemanduan. 

Dari segi penawaran enjin, Isuzu D-Max 2020 hadir dengan dua pilihan enjin sedia ada, iaitu 3.0 liter 4JJ3-TCX (190 PS/450 Nm) dan enjin terkecil 1.9 liter RZ4E-TC (150 PS/350 Nm), dan kedua-duanya digandingkan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik serba baharu. 
 


Kotak gear automatik itu dikatakan memberikan respon yang lebih cekap di samping menawarkan penjimatan bahan api - poin utama penjualan Isuzu D-Max. 

Isuzu D-Max 2020 akan mula dijual di Thailand pada 19 Oktober ini dengan harga bermula dari 510,000 baht (RM70,200) sehingga 1,164,000 (RM160,300). 

Manakala pasaran lain akan menyusul bermula tahun hadapan.